Berita

Penantian 10 tahun berakhir, penduduk masuk rumah baru 2021

- Diterbit 20 November 2020 5:00 AM MYT

IMPIAN memiliki rumah yang lebih besar dan selesa untuk menghabiskan
sisa kehidupan akhirnya menjadi kenyataan setelah 395 penduduk yang kebanyakkan warga emas menerima surat tawaran dan bakal berpindah awal tahun hadapan.

Pengerusi Persatuan Penduduk Perumahan Awam Seri Labuan, Yusof
Abdul Rahman, 68, berkata, perjuangannya hampir 10 tahun lalu terbalas setelah bakal memasuki rumah baru tersebut awal tahun hadapan.

“Pelbagai kisah suka duka sepanjang menguruskan projek ini, namun
setelah menerima surat tawaran pada Selasa lalu menjadi penamat terhadap perjuangan kami untuk mendapatkan rumah baharu yang lebih selesa dan besar.

“Ia juga sebagai satu kepuasan apabila semua pemohon menerima rumah ini secara percuma tanpa perlu mengeluarkan perbelanjaan yang banyak,” katanya kepada Wilayahku pada Rabu.

Projek yang pernah terhenti beberapa kali ini akhirnya bakal siap sepenuhnya sedikit masa lagi.

“Pernah beberapa kali projek ini dihentikan atas beberapa sebab dan ia
melibatkan perbicaraan mahkamah dan yang terakhir ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan,” katanya.

Bagi Ibu tunggal, Rohani Hussein, 62, yang mendiami PA Seri Labuan sejak 36 tahun lalu bersyukur kerana impian menduduki rumah baharu
bakal menjadi kenyataan.

“Kebetulan rumah saya yang didiami sekarang menghadap projek
berkenaan, jadi setiap hari saya dapat melihat projek perumahan itu sehingga ia siap dinaiki,”

“Malah, saya tidak sabar untuk berpindah dan gembira kerana bakal
menyambut bulan Ramadan dan Syawal di rumah baharu nanti,” katanya.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas