Berita

361,454 premis diperiksa, 97.69 peratus patuhi SOP – KPDNHEP

|
- Diterbit 11 Februari 2021 8:19 AM MYT

SEBANYAK 353,122 atau 97.69 peratus daripada keseluruhan 361,454 premis, terutamanya dalam sektor runcit dan borong yang diperiksa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) di seluruh negara dari 8 Mei tahun lepas hingga Selasa lalu  (9 Feb) didapati patuh prosedur operasi standard (SOP).

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Rosol Wahid berkata daripada jumlah yang diperiksa itu, sebanyak 7,614 premis diberi nasihat, 584 premis diberi amaran dan 134 dikenakan kompaun.

“Statistik berkenaan menunjukkan tahap pematuhan ke atas SOP Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), khususnya bagi sektor borong dan runcit, berada pada tahap yang tinggi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Rosol berkata antara premis yang dikenakan kompaun ialah farmasi, kedai telekomunikasi, restoran, kedai aksesori kenderaan, kedai pakaian dan bengkel kenderaan.

Berikutan pembukaan lebih banyak sektor peruncitan bermula semalam, beliau berkata pegawai penguat kuasa KPDNHEP akan terus melipatgandakan pemeriksaan di premis yang berkenaan untuk memastikan pematuhan peniaga ke atas SOP yang ditetapkan.

“Mereka juga akan memantau pelaksanaan ‘dine-in’ di restoran-restoran supaya SOP dipatuhi sepenuhnya,” katanya.

Dalam tinjauannya bersama pegawai kanan KPDNHEP di IOI Mall, Puchong malam semalam, Rosol berkata tahap pematuhan SOP dalam kalangan peniaga adalah memuaskan.

Ini termasuk SOP dua orang semeja walaupun datang daripada sebuah keluarga, penjarakan fizikal ketika beratur untuk memasuki premis dan membeli barang keperluan, pemakaian pelitup muka, merekod kemasukan ke premis melalui aplikasi MySejahtera dan penggunaan cecair pensanitasi tangan. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas