Berita

Bekas CEO 1MDB negatif COVID, kata TPR

- Diterbit 11 Februari 2021 8:21 AM MYT

BEKAS Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB Mohd Hazem Abd Rahman, saksi pendakwaan ke-10 dalam perbicaraan kes Datuk Seri Najib Tun Razak, yang dilaporkan tidak sihat, disahkan negatif COVID-19.

Keputusan ujian itu dimaklumkan Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Mohamad Mustafa P Kunyalam kepada Bernama melalui khidmat pesanan ringkas.

“Beliau memaklumkan kami keputusan ujian adalah negatif. Bagaimanapun kami tidak akan memanggilnya hari ini (untuk memberi keterangan),” kata Mohamad Mustafa.

Mohd Hazem, yang kini di peringkat memberi keterangan dalam pemeriksaan balas oleh peguam Datuk Seri Najib Tun Razak, Wan Aizuddin  Wan Mohammed, dalam perbicaraan bekas perdana menteri itu berkaitan 1MDB di Mahkamah Tinggi di sini, tidak dapat berbuat demikian semalam setelah dilaporkan demam.

Setelah mahkamah dimaklumkan mengenai perkara itu, Hakim Collin Lawrence Sequerah mengarahkan Mohd Hazem, 47, menjalani ujian swab dan perbicaraan disambung dengan mendengar keterangan saksi ke-11, bekas Timbalan Ketua Setiausaha (Kabinet) Tan Sri Mazidah Abdul Majid.

Najib, 67, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan jumlah yang sama. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas