Berita

Kelab setuju saingan Liga-M diteruskan 5 Mac – MFL

- Diterbit 11 Februari 2021 8:15 AM MYT

LIGA Bola Sepak Malaysia (MFL) menegaskan tarikh sepak mula saingan Liga Malaysia (Liga-M) 2021 dikekalkan pada 5 Mac depan demi kelangsungan aksi di peringkat domestik.

Ketua Pegawai Eksekutif  MFL Datuk Ab Ghani Hasan berkata keputusan itu merupakan langkah terbaik mengambil kira kepadatan kalendar musim 2021 termasuk aksi antarabangsa melibatkan skuad kebangsaan dan beberapa kelab tempatan di pentas kejuaraan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) musim ini.

Katanya MFL turut komited menamatkan kempen liga tanpa mengurangkan jumlah keseluruhan 22 perlawanan atau membatalkan mana-mana kejohanan lain dalam saingan Liga-M musim ini bagi mengelak kesan negatif kepada penajaan.

“Jadi adalah sukar untuk MFL menunda lagi tarikh sepak mula Liga-M 2021 kerana jelas penangguhan itu akan menjejaskan perjalanan kalendar pertandingan musim ini.

“Apa yang mustahak keputusan ini dicapai selepas mendapat persetujuan daripada setiap wakil kelab, di pihak MFL kami sentiasa berusaha memastikan kalendar Liga-M berjalan dengan lancar terutama ketika ia berlangsung dalam tempoh pandemik COVID-19,” katanya dalam kenyataan hari ini.

MFL menganggap keputusan itu relevan meskipun menyedari kekangan yang dihadapi pasukan dalam membuat persediaan menjelang musim baharu selepas tergendala hampir sebulan susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 13 Jan lepas.

Sementara itu, Ab Ghani berkata MFL dengan kerjasama Majlis Sukan Negara (MSN) telah memberikan penerangan berkenaan prosedur operasi standard (SOP) berkaitan ‘camp quarantine’ dan ‘home quarantine’ ditetapkan kepada setiap wakil pasukan menerusi sesi mesyuarat dalam talian semalam.

“Pasukan diterangkan lebih terperinci berkenaan program latihan berpusat bermula Isnin depan, tempat latihan dan pergerakan pemain adalah terkawal mengikut model gelembung sukan, yang mana penginapan pemain perlu mengikut SOP sama ada ‘camp quarantine’ atau ‘home quarantine’,” katanya.

Menurut kenyataan itu, ‘camp quarantine’ bermaksud penempatan pemain dan pegawai di satu tempat sepenuh masa dan menjalani ujian calitan di venue berkenaan sementara ‘home quarantine’ pemain dan keluarga wajib menjalani ujian calitan selain SOP lebih ketat termasuk larangan orang luar menziarahi mereka sepanjang tempoh kuarantin.

Dalam pada itu, MFL membenarkan pasukan mengadakan perlawanan persahabatan bermula 15 Feb depan dengan syarat mematuhi SOP ditetapkan pihak kerajaan selain perlu bekerjasama dengan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi tujuan pergerakan rentas negeri.

Impak COVID-19 menyaksikan saingan Liga Super dan Liga Premier musim lepas yang bermula pada Mac terpaksa ditangguh hingga penghujung Ogos manakala beberapa pertandingan utama Liga-M antaranya Piala FA dan Piala Malaysia dibatalkan. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas