Berita

Covid-19: 60 kes baharu hari pertama Aidilfitri

DR NOOR HISHAM (tengah) bergambar bersama kakitangan Hospital Putrajaya ketika melawat hospital itu pada hari raya pertama Aidilfitri hari ini.
- Diterbit 24 Mei 2020 9:00 AM MYT

PUTRAJAYA – Terdapat 33 kes telah pulih dan dibenarkan discaj pada hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes yang pulih sepenuhnya daripada Covid-19 dan discaj dari wad adalah sebanyak 5,945 kes iaitu 82.1 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, sehingga pukul 12 tengah hari ini terdapat 60 kes baharu yang telah dilaporkan.

“Oleh itu, jumlah kes positif Covid-19 di Malaysia adalah sebanyak 7,245 kes dan jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 adalah 1,185 kes.

“Ingin dimaklumkan daripada 60 kes baharu yang dilaporkan, tujuh kes adalah kes import yang mendapat jangkitan di luar negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr Noor Hisham memaklumkan, daripada 53 kes penularan tempatan, 44 kes adalah bukan warganegara Malaysia di mana 27 kes bukan warganegara Malaysia telah dikesan di Depot Tahanan Imigresen (DTI) di Semenyih dan enam kes di sebuah kluster baharu di DTI Sepang.

Kata beliau, sehingga kini, terdapat sembilan kes positif Covid-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan empat kes memerlukan bantuan pernafasan.

“Daripada maklumat terkini yang dilaporkan ke Crisis Preparedness and Response Centre (CPRC) Kebangsaan, dimaklumkan bahawa tiada kes kematian berkaitan Covid-19 setakat ini.

“Justeru jumlah kumulatif kes kematian Covid-19 di Malaysia kekal sebanyak 115 kes (1.59 peratus daripada jumlah keseluruhan kes),” jelas beliau.  – WILAYAHKU

Untuk kenyataan penuh, baca lanjut di: https://kpkesihatan.com/2020/05/24/kenyataan-akhbar-kpk-24-mei-2020-situasi-semasa-jangkitan-penyakit-coronavirus-2019-covid-19-di-malaysia/

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas