Berita

317 kes Covid-19 libatkan kanak-kanak bawah 12 tahun

DR NOOR HISHAM ABDULLAH
- Diterbit 16 Mei 2020 11:22 AM MYT

PUTRAJAYA – Selangor mencatatkan jumlah tertinggi kanak-kanak bawah 12 tahun yang disahkan positif Covid-19 dengan 77 kes.

Ia diikuti Johor (46 kes), Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya (28 kes) dan Sabah (26 kes).

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah bagaimanapun berkata, tiada kes kematian dalam kalangan usia itu dicatatkan.

“Laporan setakat hari ini, terdapat 317 kes positif Covid-18 dalam kalangan kanak-kanak berusia 12 tahun ke bawah.

“Daripada jumlah tersebut, 112 kes di bawah umur empat tahun, 22 kes membabitkan bayi kurang setahun dan selebihnya kanak-kanak empat tahun ke atas,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Wilayah Persekutuan Labuan dan Perlis hanya mencatatkan satu kes, Kedah (5) Terengganu (7), Melaka (9) manakala Perak dan Pulau Pinang masing-masing 10 kes.

Susulan itu, Dr Noor Hisham mengingatkan supaya golongan dilindungi kerana mereka berisiko tinggi untuk dijangkiti pandemik itu.

Katanya, kumpulan itu juga memerlukan penjagaan rapi ibu bapa, penjaga dan ahli keluarga yang lebih tua.

“Ibu bapa dan penjaga perlu memberi didikan kepada kanak-kanak agar mereka dapat mengamalkan tahap kebersihan yang tinggi, sentiasa mencuci tangan dengan air dan sabun, dan sangat digalakkan memakai penutup mulut dan hidung di kawasan umum,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas