Berita

100 keluarga PPR terima juadah berbuka

MUKSHAR (kanan) menyerahkan sumbangan juadah berbuka kepada salah seorang penduduk PPR. MUKSHAR (kanan) menyerahkan sumbangan juadah berbuka kepada salah seorang penduduk PPR.
- Diterbit 16 Mei 2020 10:07 AM MYT

KUALA LUMPUR – 100 buah keluarga kurang berkemampuan dari lima Projek Perumahan Rakyat (PPR) menerima sumbangan juadah berbuka puasa sumbangan Khaira PPZ dengan kerjasama Takaful Ikhlas Family Berhad.

Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) yang julung kali diadakan dalam bentuk tersebut oleh Khaira PPZ bertujuan untuk berkongsi rezeki di bulan Ramadan bertepatan dengan tagline CSR nya #syukurinikmatramadan.

Dalam menjayakan usaha murni tersebut, Takaful Ikhlas Family Berhad menyumbang RM16,300 yang berupa set juadah berbuka puasa bernilai RM150 bagi setiap keluarga menerusi khidmat penghantaran Food Panda.

Menariknya pihak Takaful Ikhlas Family Berhad juga turut menyumbangkan wang tunai dan set individu juadah berbuka kepada 10 kakitangan Food Panda yang menjayakan penghantaran tersebut.

BARISAN kakitangan Food Panda bersama Mukshar (tiga dari kiri) sejurus selesai program CSR.

Menurut Penolong Pengurus Besar Hal Ehwal Korporat PPZ-MAIWP, Nor Mukshar Harun, PPZ-MAIWP menyambut baik kolaborasi bersama syarikat-syarikat korporat.

“Kami menyambut baik kolaborasi sebegini dalam membantu meringankan beban mereka yang memerlukan di samping menyebarkan dakwah zakat kepada orang ramai,” katanya.

Program turun padang yang dipertanggungjawabkan sepenuhnya oleh Khaira PPZ dalam memastikan prosedur operasi standard (SOP) ketika Tempoh Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ini melibatkan PPR Air Panas, PPR Seri Semarak, PPR Desa Rejang, PPR Kerinchi dan PPR Wangsa Maju. -WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas