Berita

Kenderaan cuba rentas negeri diarah patah balik, kompaun serta-merta

RENTAS daerah tidak dibenarkan sepanjang tempoh PKPB.
- Diterbit 21 Mei 2020 2:12 PM MYT

PUTRAJAYA 21 Mei – Kerajaan hari ini memutuskan tidak membenarkan sama sekali pergerakan merentas negeri bagi mengelakkan penyebaran Covid-19.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan tersebut dibuat setelah seorang perempuan didapati positif Covid-19 selepas merentas negeri.

“Kenderaan yang cuba merentas negeri bukan hanya akan diarah berpatah balik tetapi juga akan dikenakan kompaun serta-merta di sekatan jalan raya.

“Kita tidak akan bertolak ansur lagi dalam soal rentas negeri dan mahu rakyat sedar kerajaan serius mengenai kes ini (rentas negeri),” katanya dalam sidang akhbar harian di sini hari ini.

Tambah beliau, orang ramai masih lagi berdegil apabila jumlah kenderaan yang cuba melakukan pergerakan merentas negeri masih lagi banyak.

Semalam sahaja, sebanyak 2,412 kenderaan cuba merentas negeri atas alasan mahu pulang ke kampung dan telah diarahkan untuk berpatah balik.

“Minat mereka yang ingin balik ke kampung sempena Aidilfitri masih tidak berubah walaupun setiap hari kita memberi nasihat dan peringatan.

“Ini dapat dilihat apabila semalam 1,300 orang beratur di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan, Pahang untuk memohon kebenaran pulang.

“Selepas ini tidak perlu susah payah beratur di balai polis lagi kerana polis tidak akan membenarkan dan membuka ruang untuk rentas negeri,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas