Berita

Permulaan baik skuad muda The City Boys

THE CITY BOYS kembali mengganas.
- Diterbit 3 Mac 2020 4:41 AM MYT

KUALA LUMPUR – Selepas dua perlawanan liga Piala Presiden 2020, skuad muda Kuala Lumpur atau The City Boys sedang mendahului carta liga Kumpulan B (Zon Selatan) apabila mengumpul 6 mata hasil dua kemenangan perlawanan liga setakat ini.

Selepas menang dalam aksi pertama menentang pasukan Selangor bawah 21 tahun, skuad bimbingan Ketua Jurulatih, Shukri Ismail mempamerkan aksi menyakinkan apabila membenam cabaran pasukan pelawat, Sabah bawah 21 tahun 2-1 ditempat sendiri, Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras, semalam.

Skuad muda Kuala Lumpur bermula garang apabila mendahului seawal minit ke-10 menerusi jaringan pemain Arif Shaqirin Suhaimi yang berjaya melepaskan rembatan jarak dekat mengatasi penjaga gol pasukan Sabah sebelum Faizal Hafiq Omar menggandakan jaringan empat minit kemudian menerusi tandukan hasil daripada hantaran Hafizuddin Bustaman.

Pasukan Sabah berjaya merapatkan kedudukan pada minit ke-36 hasil tandukan bebas Mazlan Yahya namun jaringan itu tidak dapat mengatasi kelebihan yang dimiliki pasukan Kuala Lumpur. Perlawanan berkesudahan dengan jaringan 2-1 berpihak kepada pasukan Kuala Lumpur.

Ketua Jurulatih, Shukri Ismail berkata pasukannya patut meraih kejayaan dengan lebih selesa dan menyakinkan selepas mendahului 2-0.

“Selepas mendahului 2-0, saya nampak pemain hilang disiplin dan bermain tanpa mengikut arahan sampai hilang bentuk pasukan. Untuk separuh masa kedua, ada nampak perubahan dengan sukap positif dan semangat juang yang tinggi.

“Secara keseluruhan, saya berpuas hati dengan dua kemenangan tetapi pemain perlu bermain dengan sikap yang baik. Mereka pemain yang berkualiti tetapi bermain sebegini rupa, saya agak kecewa,” katanya.

Seterusnya pasukan Kuala Lumpur akan berkunjung ke Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi bertemu pasukan Negeri Sembilan bawah 21 tahun yang sedang menduduki tangga kedua dalam carta liga Kumpulan B. -WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas