Berita

JAWI rai 68 pasukan khas pengurusan jenazah COVID-19

ZULKIFLY (dua dari kanan) menyampaikan sumbangan khas kepada seorang petugas khas pengurusan jenazah COVID-19 dalam satu majlis meraikan pasukan khas pengurusan jenazah tersebut hari ini.
- Diterbit 1 Mac 2021 6:23 AM MYT

JABATAN Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) meraikan 68 orang petugas Pasukan Petugas Khas Pengurusan Jenazah COVID-19 dalam satu majlis penghargaan di Dewan Serbaguna Masjid Wilayah Persekutuan.

Pengarahnya, Datuk Mohd Ajib Ismail berkata, pasukan tersebut ditubuhkan sejak Mac tahun lalu yang dianggotai oleh pengurus jenazah terlatih dan berpengalaman dari Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), JAWI, Masjid Wilayah Persekutuan dan Masjid Negara.

“Sehingga penghujung Februari yang lalu, pasukan tersebut telah menguruskan kira-kira 214 jenazah Covid-19 dalam usaha melunaskan tuntutan fardu kifayah melibatkan kemaslahatan umat Islam di seluruh Wilayah Persekutuan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kata Mohd Ajib, sebanyak sembilan buah hospital dan pusat perubatan telah menerima khidmat Pasukan Petugas Khas Pengurusan Jenazah COVID-19 di seluruh Wilayah Persekutuan.

“Ia termasuklah Hospital Kuala Lumpur (HKL), Hospital Ampang (HA), Hospital Canselor Tuanku Mukhriz (HCTM-PPUKM), Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Institut Jantung Negara (IJN), Hospital Rehabilitasi Cheras (HRC), Hospital Putrajaya (HPJ), Institut Kanser Negara (IKN) dan Hospital Labuan,” katanya.

Katanya, sumbangan berupa wang tunai, insentif bulanan dan barangan keperluan asas dari JAWI Food Bank diberikan sebagai penghargaan di atas khidmat bakti dan komitmen tinggi para petugas barisan hadapan Pasukan Petugas Khas Pengurusan Jenazah Covid-19 mengharungi tempoh getir yang melanda negara.

Ia disampaikan oleh Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Islam) Datuk Dr Zulkifly Mohamad Al-Bakri dan dihadiri oleh Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Abdul Aziz Jusoh. – AZLAN ZAMBRY – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas