Berita

26 pasukan rebut Piala Pusingan Menteri Wilayah Persekutuan

KHALID bermesra dengan peserta yang menyertai Grand Final Karnival Sukan Parlimen Wilayah Persekutuan 2019 di Kompleks Futsal Mokhtar Dahari Presint 18 Putrajaya di sini hari ini.
- Diterbit 26 Oktober 2019 7:25 AM MYT

Oleh AINI MAWAWI
[email protected]

PUTRAJAYA – Sebanyak 26 pasukan bola jaring dan futsal dari 13 Parlimen berentap bagi merebut Piala Pusingan Menteri Wilayah Persekutuan pada Grand Final Karnival Sukan Parlimen (Sukpar) yang berlangsung di Kompleks Futsal Mokhtar Dahari Presint 18 di sini hari ini.

Majlis Sukan Wilayah Persekutuan (MSWP) dalam satu kenyataan berkata, karnival tersebut merupakan salah satu usaha untuk menerapkan budaya bersukan dalam gaya hidup warga kota tanpa mengira latar belakang.

Program Sukpar diadakan bagi menggalakkan setiap Pejabat Ahli Parlimen dan Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) dalam Wilayah Persekutuan untuk turut sama menyokong sambutan Bulan Sukan Negara.

Terdahulu karnival yang berlangsung seawal 5 Oktober lalu menerima penyertaan sebanyak 475 pasukan bagi kedua-dua acara sukan yang dipertandingkan iaitu Bola Jaring 161 pasukan dan Futsal 314 pasukan.

Juara di peringkat Grand Final akan membawa pulang Piala Pusingan Menteri Wilayah Persekutuan dan hadiah wang tunai sebanyak RM3,000 (Futsal) manakala RM2,000 (Bola Jaring). – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas