Berita

9to5 Run Half Marathon 2019 platform perniagaan koperasi

ISMAIL (tiga kiri) melihat medal yang akan dihadiahkan kepada pemenang yang menyertai 9to5 Run Half Marathon 2019 pada Majlis Pra-pelancaran 9to5 Run Half Marathon 2019 di sini hari ini. - FOTO:NAZIRUL ROSELAN
- Diterbit 18 September 2019 4:59 PM MYT

Oleh NAZWIN NAZRI
[email protected]

PUTRAJAYA – Koperasi Profesional Putrajaya Berhad (Koprojaya) akan menganjurkan 9to5 Run Half Marathon 2019 pada 10 November ini bagi meraikan pertabalan Yang di-Pertuan Agong Ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada 30 Julai lalu.

Program kali kedua itu juga menampilkan keunikan dengan menonjolkan medal berbentuk tengkolok diraja sekali gus mempamerkan manifestasi penghargaan rakyat terhadap institusi Diraja.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr. Ismail Bakar berkata, dengan adany program seumpama itu, produk hasil ahli koperasi juga dapat diketengahkan kepada umum.

“Bila sebut koperasi, ramai yang fikir pinjam-meminjam tetapi sebenarnya banyak aktiviti boleh dilakukan termasuk menjadi salah satu platform perniagaan produk koperasi.

“Negara luar banyak pasarkan produk koperasi mereka di dalam pasar raya tetapi di Malaysia, hasil ahli koperasi terbiar sepi,” katanya semasa berucap dan merasmikan Majlis Pra-pelancaran 9to5 Run Half Marathon 2019 di sini hari ini

9to5 Run Half Marathon 2019 kali ini akan memperkenalkan kategori baharu iaitu 21 kilometer yang melalui lima buah jambatan Putrajaya.

Terdahulu, program tersebut pernah berlangsung pada 2015 dengan penyertaan 16,000 peserta larian dan diiktiraf Malaysia Book Of Records (MBOR). – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas