SERAMAI 228 orang peserta hadir memeriahkan acara Putrajaya Lake and Wetland (PLW) Explorace 2024 bertempat di Padang Semarak, Taman Wetland, Presint 13, Putrajaya, baru-baru ini.
Menurut Ketua Penolong Pengarah Kanan Bahagian Alam Sekitar, Tasik & Wetland PPj, Normaliza Noordin, peserta terlibat telah berentap dalam dua kategori yang dipertandingkan iaitu kategori terbuka dan kategori Institut Pengajian Tinggi (IPT) bagi merebut gelaran Lake Warrior 2024.
“Peserta perlu melalui perjalanan sejauh 16 kilometer (km), meliputi kawasan seluas 170 hektar dan perlu melaksanakan 12 tugasan bagi melengkapkan cabaran termasuklah aktiviti lake crossing di Central Wetland dan cabaran ‘fear factor’ yang bermula seawal pukul 7 pagi hingga 5 petang.
“Bagi PLW kategori terbuka edisi ke-11, takhta Lake Warrior 2024 berjaya menjadi milik Pasukan GKL Warrior. Gandingan mantap Azam Mohd Shidid dan Wan Muhammad Razuan Rafeeq yang hanya mengambil masa selama 2 jam 20 minit untuk menamatkan cabaran PLW sekali gus membuatkan mereka menerima Anugerah Pasukan Terbaik Lelaki.
“Tempat kedua pula disandang oleh Pasukan HYGO dan tempat ketiga dimenangi oleh pasukan ME & MIE.
“Untuk kategori IPT, dua pasukan daripada Politeknik Port Dickson megah di podium apabila berjaya merangkul gelaran Lake Warrior 2024 dan tempat kedua. Bagi tempat ketiga pula dimenangi oleh Pasukan SIMBA iaitu gandingan pelajar UiTM Shah Alam,” ujar beliau.
Bagi setiap kategori, pemenang tempat pertama akan dianugerahkan gelaran Lake Warrior 2024 dan membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM3,000 manakala tempat kedua mendapat RM2,000, tempat ketiga menerima RM1,000 dan RM200 untuk tempat keempat sehingga ke-20 yang mana masing-masing juga akan membawa pulang sijil dan medal.
Menariknya, para peserta turut berpeluang memenangi 50 hadiah cabutan bertuah yang disediakan penganjur terdiri daripada pelbagai kelengkapan aktiviti outdoor. Cabutan bonanza utama iaitu Mountain Bike telah dimenangi oleh peserta kategori terbuka, Mohammad Faris Mohd Noor Azmi. – WILAYAHKU