Berita

213 lagi gelandangan diselamatkan

SEBAHAGIAN gelandangan diletakkan di Pusat Transit Sentul Perdana. Foto Ihsan DBKL
- Diterbit 31 Mac 2020 2:37 PM MYT

KUALA LUMPUR – Kira-kira 213 gelandangan diselamatkan pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dengan kerjasama beberapa agensi dalam operasi fasa kedua yang bermula pada pukul 11 pagi hingga 8 malam semalam.

Pengarah Jabatan Perancangan Korporat DBKL, Khairul Azmir Ahmad berkata, operasi tersebut dilakukan bagi menyelamatkan gelandangan tersebut daripada terdedah kepada jangkitan Covid-19.

“DBKL telah menjalankan Operasi Pengumpulan Gelandangan dengan menempatkan mereka di penempatan sementara di pusat-pusat komuniti.

“Operasi ini melibatkan 57 anggota daripada pelbagai agensi seperti Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Yayasan Kebajikan Negara (YKN), Kementerian Kesihatan (KKM), Persatuan Bulan Sabit Malaysia (PBSM) dan Syarikat Alam Flora Sdn. Bhd., ” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Khairul Azmir berkata, operasi tersebut berpusat di Pusat Gelandangan Medan Tuanku.

“Ia dilaksanakan di beberapa kawasan tumpuan gelandangan seperti di Jalan Tun Perak, Jalan Silang, Jalan Sultan dan. Jalan Tun Tan Siew Sin,” katanya

Khairul Azmir memberitahu, semua gelandangan telah disaring dan dibawa ke pusat penempatan sementara.

“Jumlah keseluruhan gelangangan yang terlibat ialah 195 warganegara dan 18 orang bukan warganegara menjadikan keseluruhan 213 orang,”

“Kesemua gelandangan itu kini ditempatkan di Pusat Komuniti Sentul Perdana, Pusat Komuniti Setiawangsa dan Pusat Komuniti Alam Damai.

Tambah Khairul Azmir lagi, operasi bersepadu tersebut akan dijalankan dari semasa ke semasa atas dasar keprihatian terhadap nasib gelandangan sepanjang tempoh PKP.

“Usaha ini juga demi memerangi wabak Covid-19 dalam kalangan gelandangan,” katanya.- WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas