Berita

Rakyat jadi penentu PKP dilanjut atau tidak

- Diterbit 31 Mac 2020 2:21 PM MYT

PUTRAJAYA – Kemungkinan kerajaan memutuskan bagi melanjutkan lagi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ke fasa seterusnya bergantung sejauh mana perintah itu berjaya atau tidak.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kejayaan sesuatu PKP itu bagaimanapun bergantung kepada rakyat secara keseluruhannya.

“Ramai bertanya adakah PKP akan dilanjutkan kepada fasa 3 dan 4 serta sama ada boleh berhari raya (seperti biasa).

“Perkara yang boleh memastikan kesemuanya itu adalah rakyat sendiri dengan mematuhi arahan dan Prosedur Standard Operasi (SOP), seterusnya ketakutan kita kepada sambungan PKP dapat diselesaikan,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, seramai 165 individu telah didakwa di mahkamah di seluruh negara atas dakwaan ingkar PKP.

Katanya, enam daripada tertuduh telah dijatuhi hukuman denda dan penjara.

“Jadi, saya harap semua rakyat perlu melihat perintah ini adalah serius. Patuhlah kepada setiap arahan dikeluarkan, jangan sampai kita ke penjara dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata, trend penangkapan menunjukkan penurunan dengan seramai 742 individu ditahan berbanding 828 individu kelmarin.

Ketika ditanya pemberita berhubung kebimbangan wujudnya kluster baharu dalam Covid-19 daripada individu yang ditangkap, Ismail Sabri menjelaskan tidak timbul isu tersebut.

Jelas beliau, berdasarkan prosedur operasi standard (SOP), mereka yang ditahan akan dibawa ke balai polis sebelum ditentukan sama ada akan diberikan kompaun atau jaminan dengan kertas siasatan diserahkan kepada Peguam Negara untuk tindakan seterusnya.

“Jadi, tiada isu mereka akan ditahan di dalam lokap beramai-ramai sebab SOP kita penjarakan sosial satu meter,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas