21 pelajar terima Skim Biasiswa Pengajian Tinggi YWP
ZAIZALNIZAM (kiri) memantau sesi temuduga yang diadakan di Wisma Yayasan Wilayah Persekutuan baru-baru ini

21 pelajar terima Skim Biasiswa Pengajian Tinggi YWP

MENGUTAMAKAN aspek pendidikan di samping kebajikan warga kota, Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) menerusi Bahagian Pembangunan Pendidikan turut menyediakan Skim Biasiswa Pengajian Tinggi.

Ketua Pegawai Eksekutif YWP, Zaizalnizam Zainun berkata, skim tersebut telah dilaksanakan sejak 2015.

Melihat manfaat daripada program tersebut, ujar beliau, ia kemudian diteruskan setiap tahun sejajar dengan visi YWP iaitu menyumbang perkhidmatan serta bantuan bagi mempertingkatkan taraf hidup golongan berpendapatan rendah di Wilayah Persekutuan.

“Sejak dimulakan, seramai 134 pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah mendapat manfaat. Permohonan dibuka setiap tahun dan ia diiklankan di dalam akhbar arus perdana.

“Syarat utama permohonan Biasiswa Pengajian Tinggi adalah pendapatan perkapita keluarga tidak melebihi RM1,000 sebulan dan beberapa syarat yang ditetapkan,” katanya ketika dihubungi Wilayahku.

Mengulas lanjut, Zaizalnizam memberitahu, bagi tahun 2019, seramai 21 pelajar daripada 148 permohonan menerima Skim Biasiswa Pengajian Tinggi dengan jumlah keseluruhan peruntukkan RM653,900.15.

“Selain itu, ia dibuka khusus untuk pengajian peringkat ijazah pertama sahaja di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan bantuan biasiswa ini diberikan mengikut semester serta kursus pengajian,” jelasnya.

Dalam pada itu, Zaizalnizam memaklumkan, penyerahan sepatutnya dilakukan pada Mac lalu tetapi terpaksa dilewatkan kerana faktor Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan penularan wabak Covid-19.

Kaedah pengiraan pendapatan perkapita keluarga

Pendapatan kasar Ketua keluarga dan
pasangan (termasuk elaun tetap)

__________________________     =    Tidak melebihi RM1,000

Bilangan tanggungan termasuk
Ketua keluarga dan pasangan

Syarat-syarat permohonan

A. Pemohon warganegara Malaysia, lahir dan menetap di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan
B. Pendapatan perkapita keluarga tidak melebihi RM1,000
C. Tidak mendapat tajaan daripada badan penaja lain
D. Kemasukkan semester 1, tahun 1 (tahun semasa)
E. Keputusan PNGK pra-ijazah, diploma, matrikulasi, tingkatan 6, asasi dan lain-lain tidak kurang daripada 3.30
F. Keputusan SPM sekurangkurangnya 5A
G. Mendapat tawaran dari IPTA sahaja
H. Mendapat keputusan semasa di semester 1 ijazah pertama 3.50>
I. Lulus sesi temuduga
J. Ibu/bapa/pemohon (21 tahun keatas) mengundi di Wilayah Persekutuan

CATEGORIES