Berita

20,719 terima wang pendahuluan PTPTN

WAN SAIfUL (tiga dari kiri) beramah mesra dengan penerima Wang pendahuluan pinjaman yang diberikan PTPTN di Kuala Lumpur barubaru ini.
- Diterbit 29 Ogos 2019 5:18 PM MYT

Oleh NAZWIN NAZRI
[email protected]

KUALA LUMPUR – Wang pendahuluan pinjaman (WPP) yang diberikan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) kepada para pelajar dapat membantu mereka menampung sebahagian daripada persiapan untuk memasuki institusi pengajian tinggi (IPT).

Seorang penerima, A. Sharah berkata, dia bersyukur dengan bantuan pendahuluan pinjaman yang diberikan PTPTN itu bagi digunakan untuk membuat persiapan awal untuk mendaftar ke Universiti Malaysia Pahang (UMP) dalam jurusan Kejuruteraan Kimia pada September ini.

“Kalau harapkan sepenuhnya duit daripada ibu bapa, agak sukar untuk saya membuat persiapan bagi melanjutkan pelajaran ke sana,” katanya ketika ditemui pada Majlis Penyerahan WPP PTPTN sesi kemasukan September 2019 Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya di sini baru-baru ini.

Seorang lagi penerima, Sharman Aqira Hatono, WPP yang diterima dapat digunakan untuk menampung sebahagian yuran pendaftaran yang berjumlah RM2,157.

Katanya, dengan bantuan WPP, dia dapat meringankan beban ayahnya yang bekerja sebagai pemandu di pejabat Kedutaan Arab Saudi di Malaysia di sini.

Dia yang mendapat tawaran belajar dalam Program Pendidikan TESL di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) berkata, persiapan untuk pendaftaran dan pengajian juga menggunakan duitnya sendiri hasil kerja sambilan sebagai penterjemah di salah sebuah syarikat penterjemahan.

Seorang lagi penerima, Nur Lyana Sofea Ab. Rahim berkata, wang pendahuluan yang diterima itu membolehkan dia membuat bajet mengikut keperluan.

“Saya mendapat tawaran belajar dalam bidang Sains Kimia Gunaan di Universiti Teknologi Mara, Shah Alam. Duit pendahuluan ini akan digunakan untuk membeli buku dan membayar yuran kolej,’’ jelasnya yang merupakan anak kepada seorang pemandu teksi.

Terdahulu, pada majlis itu, Pengerusi PTPTN, Wan Saiful Wan Jan memberitahu, WPP merupakan langkah proaktif yang dilaksanakan bagi membantu bakal mahasiswa dan ibu bapa membuat persiapan untuk mendaftar di universiti.

Beliau turut mengingatkan agar penerima WPP dapat berjimat cermat dalam berbelanja dan menggunakan wang pinjaman pada jalan yang betul.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas