Berita

Pesara bolot RM6,000 naikkan ikan lekoh 3.6kg

MOHD. NAZAM (dua dari kanan) dan Ahli Lembaga Penasihat Bandaraya Kuala Lumpur, Sian Keng Eng (dua dari kiri) bergambar bersama para pemenang dan penaja JPKL Siri 6/2019 di Tasik Permaisuri, Cheras, Ahad lalu.
- Diterbit 29 Ogos 2019 5:14 PM MYT

KUALA LUMPUR – Seorang warga emas tidak menyangka, hanya dengan menaruhkan umpan cacing membolehkan dia muncul sebagai juara Jelajah Pancing Kuala Lumpur (JPKL) siri 6/2019 di Taman Tasik Permaisuri di sini Ahad lalu.

Pada pertandingan itu, Abd. Rahman Sidek, 65, yang merupakan seorang pesara kerajaan berjaya menaikkan ikan lekoh seberat 3.670 kilogram (kg) sekali gus berjaya mengalahkan lebih 600 peserta yang lain.

Kemenangan itu membolehkan dia berjaya membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM6,000 berserta hadiah iringan Oyoshi Green Tea, Igloo-UFL dan Pure Fishing Sdn. Bhd..

“Saya tak sangka hanya berumpankan cacing, kemenangan dalam pertandingan ini menjadi milik saya,” katanya selepas acara pertandingan memancing yang dianjurkan pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sempena Bulan Kemerdekaan itu.

Naib juara yang dirangkul Zulkifli Mohd. Atan, 46, meraih hadiah RM2,000 selepas mendaratkan ikan lekoh seberat 2.055kg manakala tempat ketiga disandang Mohd. Haniff Zulkepli, 33, menerusi tarikan kap seberat 1.860kg dan membawa pulang RM1,000.

Dalam pada itu, Pengarah Jabatan Kebudayaan, Kesenian, Pelancongan dan Sukan DBKL, Mohd. Nazam Harun berkata, aktiviti pertandingan memancing bertemakan “Jom Pancing Rakyat Ceria Komuniti Sejahtera” itu berjaya memberikan manfaat kepada warga kota dalam merapatkan hubungan kekeluargaan dan masyarakat.

“Kita hendak beri peluang warga kota untuk bersantai, beriadah dan dapat bersama-sama mengeratkan hubungan silaturahim,” katanya.

Pertandingan serupa akan diadakan lagi pada 15 September ini di Tasik Metropolitan Kepong.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas