Berita

201 peserta sertai pertandingan seni kreatif Bulan Kemerdekaan

FARY (kiri) menyampaikan replika cek hadiah kepada pemenang Busana Tradisional Iban Batang Ai dan Anugerah Khas Media Sosial, Susi Ramilyana Maiden (kanan).
- Diterbit 25 September 2021 6:00 AM MYT

SERAMAI 201 peserta telah menyertai pertandingan Seni Kreatif secara dalam talian yang dianjurkan oleh Perbadanan Labuan sempena sambutan Bulan Kemerdekaan.

Pertandingan itu diadakan bermula pada 21 Ogos sehingga 16 September mempunyai tiga kategori pertandingan iaitu e-sport PUBG Mobile, Tarian Challenge dan Busana Tradisional yang dikelolai oleh Jabatan Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan PL.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dr Fary Akmal Osman, peraduan yang dibuat secara dalam talian dan tertutup itu menawarkan hadiah wang tunai sejumlah RM8,000.

Katanya, pertandingan itu adalah salah satu inisiatif PL dalam menyamarakkan lagi sambutan Bulan Kemerdekaan di peringkat Labuan.

“Dengan pertandingan ini juga, kita dapat menampilkan bakat-bakat baru anak tempatan dalam seni kreatif.

“Pertandingan ini juga turut menzahirkan semangat perpaduan yang kukuh oleh pelbagai kaum yang ada di pulau bebas cukai yang menjadi cerminan Keluarga Malaysia.

Beliau kata demikian dalam ucapannya di majlis penyampaian hadiah kepada para pemenang di Bilik Harmoni, Menara Perbadanan Labuan, pada Khamis lalu.

Menurut Fary, bebarapa program lain turut diadakan oleh pihaknya sebagai pengisian sambutan Bulan Kemerdekaan iaitu Kempen Kibarkan Jalur Gemilang, Bacaan Yassin dan Doa Selamat dan Merdeka Flag Run.

Hadir sama, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pembangunan) PL Ibrahim Tambi dan Penolong Pengarah Jabatan Pelancongan dan Kebudayaan dan Kesenian PL Shahrullizam Sapar. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas