Berita

20,000 penjawat awam kontrak hilang jejak sejak empat tahun lalu

ADNAN menggesa supaya pihak majikan yang juga agensi kerajaan di setiap sektor mendaftarkan penjawat awam kontrak di bawah skim khusus Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).
- Diterbit 15 Oktober 2021 9:16 AM MYT

PASTINYA, masyarakat umum tidak menyangka bahawa penjawat awam kontrak boleh kehilangan pekerjaan seperti mana pekerja swasta yang lain.

Ini kerana, dianggarkan lebih 20,000 penjawat awam kontrak kehilangan mata pencarian apabila agensi kerajaan mahupun badan berkanun terpaksa menghentikan kontrak mereka selepas didapati gagal memenuhi syarat ditetapkan.

ADNAN MAT

Melihatkan situasi sedemikian, Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Adnan Mat mahukan nasib golongan seperti itu dibela.

Susulan itu, beliau menggesa supaya pihak majikan yang juga agensi kerajaan di setiap sektor mendaftarkan penjawat awam kontrak di bawah skim khusus Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) seperti Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) yang disediakan kepada pekerja swasta.

“Sepanjang tempoh kontrak, setiap majikan diwajibkan membuat pendaftaran dan caruman kepada Perkeso sebagai perlindungan bagi membela nasib mereka apabila berlaku perkara yang tidak diingini seperti kemalangan dan bencana di tempat kerja.

“Saya lihat inisiatif kerajaan menubuhkan Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) pada 1 Januari 2018 merupakan satu inisiatif yang baik untuk membantu individu yang kehilangan pekerjaan serta menyediakan bantuan kewangan sehinggalah mereka menemukan pekerjaan baru,” katanya kepada pemberita pada Jumaat.

Menurut Adnan, pihaknya mendapati, dalam tempoh empat hingga lima tahun, lebih 58,000 penjawat awam kontrak diambil bekerja dan sebahagian daripadanya tidak disambung setelah tamat tempoh.

“Daripada jumlah tersebut, seramai 20,000 penjawat awam telah ditamatkan kontrak manakala selebihnya iaitu 38,000 kakitangan masih dalam perkhidmatan di pelbagai sektor khususnya di bawah sektor kesihatan dan lain-lain,” katanya yang turut mencadangkan agar majikan di sektor awam kontrak membuat caruman SIP Perkeso kepada kumpulan terlibat.

Dalam pada itu, Adnan juga mahukan SIP yang diperkenalkan khusus untuk pekerja sektor swasta diperluaskan kepada orang ramai terutamanya kepada penjawat awam dan juga pekerja kontrak.

“Pihak kerajaan perlu memperkenalkan SIP kepada orang ramai khususnya penjawat awam yang berstatus kontrak kerana mereka juga perlu mencarum di bawah skim Perkeso memandangkan SIP mempunyai manfaat yang sangat luas.

“Mereka juga akan mendapat faedah elaun kewangan seperti Elaun Mencari Pekerjaan (EMP), Elaun Pendapatan Berkurangan (EPB) dan Elaun Bekerja Semula (EBS) untuk melangsung kehidupan setelah kehilangan pendapatan tunggal.

“Jadi sekurang-kurangnya mereka ada sedikit pendapatan dalam tempoh tiga hingga enam bulan sebelum mereka menemui pendapatan atau pekerjaan baharu,” tambahnya lagi. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas