Berita

SIP rawat sejarah hitam dua ketua keluarga

ROSLI Manah menggunakan wang bantuan SIP bagi memulakan perniagaan nasi daging salai.
- Diterbit 15 Oktober 2021 9:11 AM MYT

‘TERIMA kasih, terima kasih, terima kasih’ itu adalah ungkapan istimewa yang tidak lekang daripada
mulut penerima Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) yang mengalami kesukaran hidup setelah diberhentikan kerja dua tahun lalu.

Dahulu berpakaian kemeja berkasut kulit, bekerja di bawah bumbung yang berhawa dingin kini berpeluh keringat berniaga di tepi jalan.

Kehidupannya kini, umpama melihat titik cahaya di hujung terowong apabila akhirnya berjaya membina semula kehidupan menggunakan hasil kewangan daripada SIP.

Begitulah kehidupan Rosli Manah, 53, yang mengalami perubahan drastik apabila syarikat akhbar terkemuka, tempatnya bekerja mengumumkan penutupan secara tiba-tiba tiga tahun lalu.

Berkongsi tentang kehidupannya, bantuan SIP yang diterima digunakan bagi memulakan perniagaan kecil-kecilan demi menampung keluarga kecilnya pada ketika itu.

“Selepas berhenti kerja, saya memang hilang punca pendapatan dan ketika itu saya agak buntu bagaimana hendak menampung keluarga.

“Sangat lega meskipun jumlah yang diberi tidaklah banyak namun ia memadai buat saya jadikan modal untuk memulakan perniagaan kecil-kecilan yang masih bertahan sehingga kini,” ujarnya yang mengakui pelbagai faedah disediakan di bawah SIP.

Bapa kepada tiga orang anak ini menzahirkan rasa syukur dan terima kasih kepada pihak Perkeso yang peka dengan keadaan dan kesusahan dialami dirinya.

“Terima kasih kepada SIP Perkeso yang membantu saya untuk meneruskan perniagaan dan alhamdulillah selepas dua tahun, perniagaan masih berjalan dan masih ada rezeki daripada hasil permulaan dengan duit yang diperolehi SIP. Alhamdulillah terima kasih banyak-banyak,” luah Rosli.

Bercakap melalui pengalaman, Rosli mengakui permohonan SIP bukanlah satu bebanan sebaliknya urusan dilakukan dengan amat mudah.

“Saya rasa ambil SIP tidak ada masalah dan tidak susah pun. Ia ibarat kawan tolong carikan kerja untuk kita kerana di bawah SIP terdapat platform yang akan membantu pencarum untuk mendapatkan pekerjaan baharu, jadi bukan satu beban pun.

“Saya nasihatkan sesiapa yang terjejas pendapatan, daftarlah SIP ini kerana ia sangat membantu dan banyak kebaikan yang boleh diperoleh,” jelasnya mengenai kebaikan SIP.

Berkongsi cerita sama, Nor Asikin Hassan, 50, mengakui dia tidak menyangka dirinya akan kehilangan mata pencarian utama dalam sekelip mata tanpa sebarang notis.

Dengan bebanan di bahunya, dia memilih untuk membawa Grab sebagai sumber pendapatan demi menyara dua insan istimewa dalam hidupnya.

Menceritakan detik yang tidak dapat dilupakan, Asikin berkata wang SIP yang diperoleh hanya digunakan untuk keperluan sahaja dan tidak menggunakan wang tersebut untuk kepentingan dirinya sendiri memandangkan jumlah yang diterima mencukupi dalam tempoh enam bulan sahaja.

“Saya menggunakan wang tersebut untuk keperluan hidup serta bayaran penting dan duit yang ada hanya cukup untuk menampung kehidupan saya bersama ibu bapa memandangkan saya masih belum berkahwin,” katanya.

Dalam nada terharu, Asikin berasa sangat terhutang budi kepada Perkeso yang terus memberi harapan dan sokongan kepada dirinya sekeluarga untuk tidak mudah berputus asa serta berterima kasih di atas
keprihatinan yang diberikan.

“Terima kasih Perkeso kerana banyak membantu saya dan kawan-kawan di Utusan ketika kami kehilangan pekerjaan. Bantuan yang diberikan selama enam bulan itu amat memberi manfaat yang banyak ketika kami sangat buntu dan tidak tentu arah, dapat membantu mengurangkan beban yang ada.

“Alhamdulillah harapnya Perkeso dapat membantu orang lain yang turut terlibat dalam masalah kehilangan pekerjaan, tetapi sekiranya jumlah dapat dinaikkan sedikit ia lebih membantu,” jelasnya yang menghargai usaha baik Perkeso.

Dia juga menasihatkan penerima SIP untuk tidak selesa berada di takuk yang sama dan terus berusaha mencari pendapatan sendiri meskipun telah dibantu pihak Perkeso.

Jelaslah inisiatif yang diperkenalkan pada 1 Januari 2018 ini membawa seribu kebaikan dan manfaat kepada individu yang telah hilang pekerjaan dan juga mencarum di bawah badan sosial tersebut. -WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas