Berita

YWP akan perkasakan SIP Perkeso kepada kakitangan

KETUA Pegawai Eksekutif Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP), Datuk Zaizalnizam Zainun
- Diterbit 15 Oktober 2021 9:21 AM MYT

KEBAJIKAN pekerja diibaratkan sebagai tunjang utama yang perlu dipelihara dan dijaga sebaiknya tidak kira pekerja tetap mahupun pekerja sambilan harian atau kontrak di pelbagai sektor.

Justeru itu, Yayasan Wilayah Persekutuan memainkan peranan untuk membantu memberi perlindungan serta elaun kepada pekerja kontrak yang tidak mempunyai sebarang perlindungan insurans seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerjaan (KWSP), Elaun Perubatan melalui skim baharu di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) iaitu Sistem Insurans Pekerjaan (SIP).

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif YWP, Datuk Zaizalnizam Zainun, setiap syarikat harus mengetahui bahawa kebajikan pekerja perlu merangkumi perbuatan, insuran dan bayaran KWSP dengan melibatkan seluruh kakitangan sama ada pekerja kontrak dan pekerja tetap atau pekerja yang dilantik melalui lantikan tetap.

“Seperti yang diketahui, pekerja kontrak ini tidak mempunyai sebarang perlindungan lebih-lebih lagi buat mereka yang tidak mempunyai sebarang pengalaman bekerja atau bekerja berdasarkan ‘kontrak’ atau dalam tempoh tertentu dan pada bila-bila masa sahaja kontrak mereka akan ditamatkan atau diteruskan.

“Jadi, bagi saya mereka seharusnya diberi bantuan kewangan dan perlindungan seperti insurans bagi memastikan perlindungan terhadap kakitangan yang bertugas sentiasa berada dalam keadaan sihat dan mampu menjalankan tugas yang telah diamanahkan sebaiknya,” tegasnya.

Katanya lagi, terdapat lebih 50 kakitangan yang mana antaranya terdiri daripada pekerja kontrak pekerja harian dan juga lantikan tetap yang layak menerima semua kelebihan di bawah Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) YWP.

Mengulas mengenai bantuan yang diberikan kepada peniaga dan penjaja kecil, beliau berkata, YWP telah menyediakan Skim Mikro Kredit serta kita juga sediakan pinjaman susulan daripada pengenalan SIP di dalam serta memberi perlindungan Perkeso untuk membantu meringankan beban peniaga.

Katanya lagi, YWP juga dalam tempoh pertimbangan untuk memastikan penerima-penerima menerima bantuan atau Skim Mikro Kredit ini mencarum di bawah SIP Perkeso bagi menjamin masa hadapan mereka.

“Semua kakitangan YWP telah mencarum di bawah Perkeso. Sememangnya skim ini amatlah baik dan di peringkat Wilayah Persekutuan kami dalam perancangan untuk memastikan caruman di bawah SIP Perkeso ditambah baik dan didedahkan kepada ramai orang,” jelasnya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas