Berita

20,000 frontliner Labuan terima dos ketiga

PENGARAH Jabatan Kesihatan Labuan Dr Ismuni Bohari merupakan individu pertama yang menerima suntikan dos ketiga vaksin di Labuan baru-baru ini. PENGARAH Jabatan Kesihatan Labuan Dr Ismuni Bohari merupakan individu pertama
- Diterbit 22 Oktober 2021 6:00 AM MYT

JABATAN Kesihatan Labuan mula melaksanakan pemberian dos penggalak vaksin COVID-19 (dos ketiga) kepada petugas barisan hadapan (frontliner) di wilayah itu menerusi tiga fasa yang membabitkan 20,000 individu bermula Isnin lalu.

Menurut pengarahnya, Dr Ismuni Bohari, Fasa Pertama membabitkan 1,290 petugas kesihatan dan Fasa Kedua bagi petugas barisan hadapan (bukan kesihatan) manakala Fasa Ketiga adalah kepada golongan berisiko.

Beliau berkata, pemberian dos penggalak kepada semua petugas kesihatan di wilayah itu selesai selewat-lewatnya pada Jumaat ini.

“Kumpulan kedua akan bermula pada 25 Oktober ini, melibatkan petugas barisan hadapan daripada pelbagai agensi dan warga emas serta individu berisiko tinggi.

“Hanya individu yang selesai tempoh enam bulan selepas dos kedua seperti yang disarankan, layak mendapat suntikan dos penggalak itu,” katanya di Majlis Pelancaran Pemberian Dos Penggalak di Klinik Kesihatan Membedai, pada Isnin.

Terdahulu, Ismuni merupakan individu pertama menerima suntikan dos penggalak vaksin COVID-19.

Menurut beliau lagi, pihaknya telah mewujudkan pusat vaksinasi bagi pemberian dos penggalak itu di Hospital Labuan, kem Pangkalan Udara Labuan dan Klinik Kesihatan Membedai.

Jelas beliau lagi, mereka yang layak boleh mendapatkan dos penggalak itu di semua klinik swasta menerusi janji temu.

“Individu yang layak boleh menghubungi klinik berkenaan bagi mendapatkan janji temu,” katanya. -WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas