Berita

Lebih 62,000 Residensi Wilayah Keluarga Malaysia berjaya dibina

- Diterbit 22 Oktober 2021 12:30 PM MYT

KEMENTERIAN Wilayah Persekutuan (KWP) berjaya melaksanakan kira-kira 62,701 unit Residensi Wilayah Keluarga Malaysia (RWKM)  yang melibatkan 100 projek telah mendapat kelulusan untuk pembinaan di Wilayah Persekutuan hingga 30 September lalu.

Menterinya, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim berkata, jumlah tersebut merangkumi 93 buah projek di Kuala Lumpur, tiga projek di Putrajaya dan selebihnya di Labuan.

“Daripada jumlah itu, 20,472 unit telah siap membabitkan 19,360 unit di Kuala Lumpur dan 1,112 unit di Labuan.

“Sehingga kini, masih banyak lagi unit-unit rumah RWKM yang masih dibuka untuk jualan dan boleh dipohon melalui portal rasminya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Penyerahan Kunci Residensi Desa Satumas, di sini, hari ini.

Hadir sama Timbalan Ketua Setiausaha (TKSU) KWP Perancangan dan Pembangunan, Datuk Che Roslan Che Daud, TKDU Pengurusan dan Sosio Ekonomi, Datuk Parang Abai @ Thomas dan Pengarah Eksekutif Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Datuk Sulaiman Mohamed.

“Daripada jumlah tersebut, sebanyak 93 buah projek adalah di Kuala Lumpur, tiga projek di Putrajaya dan empat projek di Labuan.

Menurut Shahidan, RWKM yang dahulunya dikenali sebagai Residensi Wilayah ini dilaksanakan bagi merealisasikan impian warga Kuala Lumpur untuk memiliki kediaman sendiri pada harga mampu milik terutama sekali bagi pembeli golongan berpendapatan sederhana rendah, M40.

“Kerajaan akan sentiasa melakukan penambahbaikan yang positif dalam memastikan kediaman yang ditawarkan adalah memenuhi keperluan semasa rakyat.

“Ia juga dibangunkan dalam persekitaran yang lebih selesa, kondusif, mesra keluarga dan praktikal dalam lingkungan harga yang mampu dibiayai,” katanya.

Jelasnya lagi, sehingga kini masih banyak lagi unit-unit rumah RWKM yang masih dibuka untuk jualan dan boleh dipohon melalui portal rasmi Residensi Wilayah Keluarga Malaysia.

“Kelulusan permohonan bagi projek ini adalah tertakluk kepada syarat-syarat yang ditetapkan dan ia memfokuskan kepada kumpulan sasar yang memerlukan terutamanya golongan yang belum memiliki rumah lagi di Wilayah Persekutuan,” katanya.- WILAYAHKU

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas