Berita

Dapat lif baru: Warga PPR, PA sambut baik pengumuman Perdana Menteri

PENDUDUK PPR/PA menyambut baik usaha kerajaan memperbaharui lif-lif di setiap blok perumahan mereka.
- Diterbit 22 Oktober 2021 6:00 AM MYT

PENGUMUMAN Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkaitan 67 Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan Perumahan Awam (PA) DBKL di Kuala Lumpur mendapat sambutan daripada penduduk Perumahan Awam Rakyat (PPR) dan Perumahan Awam (PA) di Kuala Lumpur.

Pengerusi Persatuan Penduduk PPR Kampung Limau, Ahmad Long, 64, menyokong sepenuhnya usaha baik Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk memperbaharui semula lif-lif di setiap blok perumahan PPR dan PA.

AHMAD

“Lif sangat penting bagi kami memandangkan di sini (PPR/PA) ada berbelas tingkat dan ada penduduk yang terdiri daripada warga emas, orang kurang upaya (OKU) termasuk ibu mengandung.

“Di PPR Kampung Limau ada dua blok perumahan dan setiapnya ada tiga lif. Sekiranya rosak, ia
akan menyukarkan penduduk yang berada di aras tinggi untuk bergerak sehingga terpaksa menaiki dan menurun tangga.

“Bila PM mengumumkan perkara itu, saya berasa sangat lega dan menyokong sepenuhnya usaha kerajaan untuk menyediakan lif baharu. Dengan itu, masalah utama seperti kerosakan lif akan berkurangan,” katanya ketika dihubungi Wilayahku pada Rabu.

Demi memastikan pengoperasian lif diselenggara dengan baik, Ahmad berkata, Persatuan Penduduk Kampung Limau akan mengenakan tindakan tegas kepada mana-mana pihak yang melakukan vandalisme atau sengaja merosakkan lif baharu yang akan dimiliki.

“Pada peringkat awal, kami akan berikan amaran kepada individu yang melakukan perkara itu, jika berlebihan tindakan selanjutnya akan diberikan.

“Tindakan seperti itu wajar dikenakan kepada mereka demi memastikan kemudahan utama bangunan perumahan dipelihara,” jelasnya.

AB RASHID

Dalam pada itu, Pengerusi Persatuan Penduduk PPR Intan Baiduri, Ab Rashid Ab Samad, 59 , berkata penggantian lif baharu di setiap blok perumahan tersebut memberi kelegaan dan kegembiraan buatnya apabila isu lif ini dapat diselesaikan tidak lama lagi.

“Saya gembira apabila isu ini mendapat perhatian pihak berkuasa. K emudahan ini bukan sahaja beri keselesaan kepada penduduk tetapi secera tidak langsung membantu menyelesaikan isu kerosakan
lif yang sering berlaku di kawasan ini.

“Lif ini sangat penting buat kami. Bayangkan semasa lif rosak, hanya satu lif sahaja yang berfungsi jadi kami terpaksa menggunakan tangga untuk turun dan naik, bersesak dalam lif dan menunggu dalam tempoh yang lama,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas