Berita

184 kertas siasatan berita palsu Covid-19 dibuka

DATUK SERI ISMAIL SABRI YAAKOB
- Diterbit 4 April 2020 8:42 AM MYT

PUTRAJAYA – Sebanyak 184 kertas siasatan dibuka susulan penyebaran berita palsu sehingga menimbulkan kegusaran sepanjang pandemik Covid-19 di negara ini.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, daripada jumlah tersebut sebanyak 20 kes telah didakwa di mahkamah.

“Ini bermakna berita palsu terus berlegar dalam negara kita walaupun dalam keadaan Covid-19 sepatutnya membantu kerajaan dan mententeramkan rakyat.

“Pihak kerajaan serius bagi memastikan tindakan tegas diambil terhadap penyebar berita palsu dan tiada sesiapa terlepas daripada tindakan undang-undang,” katanya dalam sidang akhbar harian di sini hari ini.

Beliau turut menafikan laporan berhubung kumpulan individu dibawa ke pusat kuarantin dengan menaiki trak atau bas Jabatan Penjara.

Ismail Sabri menegaskan kesemua mereka sebaliknya dibawa menggunakan bas yang disediakan oleh kerajaan dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).

“Trak tersebut pula hanya membawa barangan,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas