Berita

17 pelajar OKU, guru dan ibu bapa dirai

PARA pelajar, guru, ibu bapa serta wakil Restoran Peranakan Place bergambar sejurus sesi makan tengah hari.
- Diterbit 20 Januari 2023 6:00 AM MYT

PELAJAR Orang Kurang Upaya (OKU) perlu didedahkan kepada aktiviti luar bilik darjah agar mereka selesa dengan keadaan sekeliling di samping dapat memahami cara berinteraksi bersama masyarakat. Prihatin dengan perkara tersebut, Restoran Peranakan Place cawangan Pusat Beli-Belah Setapak Central,
Kuala Lumpur berbesar hati menaja makan tengah hari 17 pelajar kelas Kurang Upaya Pelbagai
(KUP), Sekolah Menengah Kebangsaan Pendidikan Khas Setapak (SMKPKS) termasuk para guru dan
ibu bapa.

WAHAB YUSMAN

Menurut Ketua Cef Peranakan Place, Wahab Yusman, objektif utama mereka bukan sahaja untuk
menaja makan tetapi turut memberi peluang kepada komuniti untuk mendekati dan menggembirakan
anak-anak pendidikan khas.

“Peranakan Place bukan sahaja dapat meraikan mereka dengan hidangan itu malah turut memupuk diri untuk lebih prihatin dan menyemai rasa kasih terhadap nasib yang menimpa anak-anak syurga tanpa mengira bangsa dan agama.

“Pada hari ini kami sajikan menu utama tarikan pelanggan iaitu Nasi Pandan Ayam Berempah dan Cendol Gula Melaka yang sesuai dengan waktu makan tengah hari untuk memberi kepuasan kepada
mereka,” ujarnya yang mewakili pihak Peranakan Place.

Sementara itu, Pengetua SMKPKS, Zaidah Mahadi menzahirkan ucapan terima kasih dan bersyukur di atas jasa baik pihak Peranakan Place menaja makan tengah hari selain layanan baik buat para pelajar.

“Sejak tahun 2019, pihak sekolah sudah bekerjasama dengan mana-mana pihak kerajaan mahupun swasta dan komuniti untuk melaksanakan pelbagai program buat pelajar kelas KUP SMKPKS.

“Alhamdulillah, kami amat gembira kerana mendapat jemputan untuk merasai hidangan popular yang terdapat di sini,” ujarnya yang berharap lebih ramai pihak prihatin dengan nasib pelajar OKU.

“Aktiviti hari ini juga secara tidak langsung memberi pencerahan kepada ibu bapa dan guru untuk mendedahkan pelajar kepada aktiviti luar selain mengajar mereka untuk lebih bijak menyesuaikan diri apabila berada di luar. Ini kerana mereka terdiri daripada pelajar OKU penglihatan, autisme, masalah fizikal dan epilepsi,” ujarnya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas