Berita

Dinasour dan gorila jadi tarikan Desaland Labuan

||||
- Diterbit 20 Januari 2023 7:30 AM MYT

TERLETAK di Jalan Sungai Pagar, Kampung Sungai Miri, Labuan, Desa Tunas Hijau atau dikenali juga sebagai Desaland merupakan salah satu lokasi pelancongan menarik di Pulau Bebas Cukai ini.

Berkeluasan 2.8 hektar, lokasi di barat daya Labuan ini menawarkan aktiviti menyeronokkan selain penginapan yang diwarnai persekitaran flora dan fauna yang pasti memberi kepuasan kepada pengunjung.

Persekitaran yang mendamaikan tambah menyeronokkan apabila ia dilengkapi penginapan yang cukup selesa seperti chalet yang mempunyai dua variasi (studio dan double room), rumah pokok dan kawasan perkhemahan.

Selain itu, bagi yang ingin mencuba aktiviti lasak, pelbagai pilihan disediakan antaranya menunggang kenderaan lasak pelbagai bentuk permukaan bumi (ATV), kayak, bot berpedal, train & dinosaur serta trampolin.

Kunjungan Wilayahku baru-baru ini mendapati aktiviti train & dinosaur mendapat sambutan yang sangat menggalakkan terutama dalam kalangan kanak-kanak. Mereka kelihatan gembira apabila dibawa mengelilingi kawasan Desaland sebanyak tiga kali.

Tambah teruja apabila dalam perjalanan, mereka dapat menyaksikan aksi dua ekor dinosaur dan gorila yang datang menghampiri kenderaan sekali gus membolehkan mereka merakam kenangan.

Menurut pengasasnya, Datuk Alias Abd Rahman, pada tahun 2016, beliau dan isteri membeli tanah di kawasan tersebut untuk membangunkan kawasan perumahan namun disebabkan beberapa faktor mereka mula mendapat idea untuk mewujudkan kawasan pelancongan.

PENGASAS Desaland Labuan, Alias (kiri) bersama isterinya.

“Kami membangunkan lokasi ini secara berperingkat bermula 2017, beberapa bentuk penginapan didirikan dilengkapi tandas selain kemudahan asas seperti dapur, pendingin hawa dan sebagainya.

“Penginapan rumah pokok misalnya pasti memberikan suasana dan pengalaman baru kepada pengunjung yang menginap. Bagi mereka yang menginginkan suasana lebih mencabar, mungkin boleh cuba berkhemah di kawasan yang disediakan,” ujar beliau.

Jelas beliau, pihaknya tidak mengenakan sebarang bayaran masuk kepada pengunjung dan hanya mengenakan bayaran jika mereka mahu bermain aktiviti yang terdapat di kawasan tersebut.

“Walau bagaimanapun kadar bayaran untuk setiap aktiviti juga agak berpatutan antaranya ATV serendah RM60 (30 minit) selain RM15 bagi aktiviti berkayak dan bot berpedal (15 minit),” ujarnya bayaran tiket sebanyak RM15 (kanak-kanak) dan RM25 (dewasa) dikenakan bagi pengunjung yang ingin menaiki train & dinosaur.

“Kami tidak mengenakan sebarang bayaran awal kerana kami mahu Desaland menjadi kawasan yang bebas dikunjungi oleh semua masyarakat tempatan dan luar,” ujar beliau menjelaskan setiap hujung minggu pelbagai gerai jualan makanan dan minuman turut disediakan.

TAMAN TEMA AIR BAKAL DIBUKA

BERKONGSI perancangan masa hadapan Desaland, Alias memaklumkan pihaknya dalam proses menyiapkan taman tema air yang dijangka bakal menarik perhatian pengunjung dari dalam dan luar Labuan.

“Setakat hari ini, proses pembinaan telah pun separuh siap dan saya jangkakan sebelum menjelang bulan Ramadan pada tahun ini ia akan siap sepenuhnya dan dibuka kepada umum,” ujar beliau lagi.

Tambah beliau, apabila siap kelak, ia merupakan satu-satunya taman tema yang terdapat di Labuan buat masa ini.

“Saya harap ia dapat memberi manfaat khusus kepada masyarakat setempat yang ingin membawa anak-anak mereka ke taman tema air yang mana jika sebelum ini, mereka terpaksa ke Sabah,” ujar beliau. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas