Berita

1,516 pelajar sekolah rendah terima baucar bantuan persekolahan YWP

AMIR (berdiri depan, sembilan dari kanan) bergambar bersama penerima baucar persekolahan YWP hari ini.
- Diterbit 11 Januari 2020 7:14 AM MYT

Oleh NAZWIN NAZRI
[email protected]

LABUAN – Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) hari ini menyerahkan sumbangan kepada 1,516 pelajar sekolah rendah di Wilayah Persekutuan Labuan pada Majlis Penyampaian Baucar dan Bantuan Pakaian Sekolah di bawah Program Riang Ria Kembali Ke Sekolah Tahun 2020 di Menara Perbadanan Labuan di sini.

Majlis penyerahan itu disempurnakan Pengerusi Perbadanan Labuan, Datuk Seri Amir Hussien.

Turut hadir Ketua Pengurus Bahagian Pendidikan YWP, Mohamad Firdaus Kamal Hashim.

YWP dalam satu kenyataan memaklumkan, program tersebut diadakan bagi meringankan beban perbelanjaan murid-murid sekolah rendah daripada keluarga golongan berpendapatan rendah (B40) di Wilayah Persekutuan dalam menghadapi sesi persekolahan tahun ini.

Katanya, daripada 1,516 penerima, 150 baucar diserahkan kepada parlimen Labuan, 50 kepada anak kakitangan Perbadanan Labuan dan 1,316 baucar kepada 17 sekolah rendah di daerah itu yang diuruskan Jabatan Pendidikan Labuan. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas