Berita

15,000 pelekat kereta ‘Daulat Tuanku’ diedar

KHALID - STIKER
KHALID (kanan) menampal pelekat kereta "Daulat Tuanku" pada kereta awam semasa Majlis Perasmian dan Pelancaran Program Paparan Ucapan Sembah Takzim Sempena Hari Keputeraan Rasmi dan Penyerahan 15,000 Pelekat Kereta "Daulat Tuanku" kepada warga kota di Menara DBKL, hari Ini. - FOTO: NAZIRUL ROSELAN
- Diterbit 3 September 2019 10:20 AM MYT

Oleh : AZLAN ZAMBRY
[email protected]

KUALA LUMPUR- Sempena Hari Keputeraan Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agung ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, sebanyak 15,000 pelekat kenderaan ‘Daulat Tuanku’ bakal diedarkan untuk kegunaan warga kota.

Menurut Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abd. Samad, inisiatif Pertubuhan Warisan Negara amat dialu-alukan kerana ia dapat memperkukuhkan pemahaman mengenai sistem Raja Berpelembagaan seperti yang diamalkan di negara ini.

“Malah, ia secara tidak langsung mendekatkan rakyat dengan Institusi Diraja.

“Melalui pengedaran pelekat ini, diharapkan ia dapat menyemarakkan lagi sambutan Hari Keputeraan yang dijadual berlangsung 9 September ini,” katanya semasa berucap di Majlis Penyerahan 15,000 Pelekat Kereta Daulat Tuanku di Menara 1 Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di sini hari ini.

Turut hadir dalam majlis tersebut adalah Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Zulkifli Al-Bakri dan wakil Ketua Polis Kuala Lumpur, Asistant Komisioner Polis, Ridzuan Abdul Hamid dan Pengerusi Pertubuhan Warisan Negara, Datuk Zulkifly Ibrahim.

Kata Khalid, program yang telah memasuki tahun keenam itu turut mendapat penyertaan daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang lain serta syarikat-syarikat korporat.

Tambah beliau, Raja sebagai tonggak utama dalam Malaysia merupakan simbol perpaduan untuk seluruh rakyat tanpa mengira kaum dan agama. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas