Utama

Pengunjung tidak peduli operasi

OPS DBKL
ANTARA peralatan muzik yang disita dalam Operasi Bersepadu Ambang Merdeka baru-baru ini.
- Diterbit 3 September 2019 6:09 AM MYT

Oleh NAZWIN NAZRI
[email protected]

KUALA LUMPUR – Terus ‘rempuh’ walaupun operasi giat dijalankan. Itu senario yang berlaku semasa Operasi Bersepadu Ambang Merdeka yang diadakan di sekitar Jalan Tun Razak di sini, 31 Ogos lalu.

Dalam operasi hampir lapan jam itu, pengunjung yang hadir sekitar pukul 3 pagi masih cuba memboloskan diri ke dalam pusat hiburan walaupun telah dihalang pihak berkuasa.

Lebih mengejutkan apabila pemilik salah sebuah premis enggan membuka pintu dan memberi alasan tidak mempunyai kunci bagi mengelakkan premis dan pengunjungnya diperiksa.

Sebaik pemeriksaan dilakukan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dengan kerjasama Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) serta Polis Diraja Malaysia (PDRM), premis terbabit tidak mempunyai lesen hiburan.

Timbalan Pengarah Kanan Jabatan penguatkuasaan DBKL, Osman Ismail berkata, dalam operasi yang dijalankan itu, lima buah premis disita dan diarahkan tutup kerana melakukan kesalahan dibawah Akta Hiburan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) 1992 dan Undang- Undang Kecil Iklan (WP) 1982.

“Kita memeriksa 25 premis hiburan dan daripada jumlah itu lima buah diarahkan tutup mengikut Seksyen 4(1)(a) dan Seksyen 4(1)(b), Akta Hiburan WPKL 1992 kerana membuka dan mengadakan aktiviti hiburan tanpa lesen dari DBKL.

“DBKL juga membuka enam kertas siasatan di bawah kesalahan Akta Hiburan (WP) 1992 bagi tujuan pendakwaan di mahkamah,” katanya.

Menurut Osman, pihaknya juga mengeluarkan dua notis kompaun Undang-undang Kecil Iklan (WP) 1982 kerana mempamerkan iklan tanpa lesen.

Dalam pada itu, pihak AADK telah menahan 7 orang yang terdiri daripada 4 lelaki dan 3 perempuan mengikut bidang kuasa agensi tersebut selepas pemeriksaan mendapati kesemua ditahan positif dadah jenis Methapetamin.

Kesemua yang diperiksa berumur lingkungan 20 hingga 50-an. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas