Berita

Dr. Siti Zainon Ismail diumumkan Sasterawan Negara ke-14

SITI ZAINON
SITI ZAINON menunjukkan lukisannya yang dibukukan.
- Diterbit 3 September 2019 10:25 AM MYT

PUTRAJAYA – Prof Dr. Siti Zainon Ismail, 69, diumumkan sebagai penerima Anugerah Sastera Negara yang membawa gelaran
Sasterawan Negara ke-14.

Perkara itu diumumkan Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik pada sidang akhbar di kementeriannya hari ini.

Beliau berkata, pemilihan Siti Zainon dilakukan berdasarkan sumbangan beliau melalui karya dan pemikiran, perkembangan sastera, impak dalam penyebaran ilmu, kepimpinan dalam persatuan sastera, impak pada peringkat kebangsaan dan antarabangsa serta penghargaan dan pengiktirafan yang telah diterima oleh tokoh tersebut.

”Panel telah meneliti kekuatan calon-calon dan mendapat nasihat daripada Sasterawan Negara yang lain. Kita tidak ketepikan sumbang saran daripada mereka dan akhirnya panel telah memilih Prof. Dr. Siti Zainon Ismail sebagai Sasterawan Negara ke-14,” katanya.

Maszlee berkata, Majlis Anugerah Sastera Negara akan disempurnakan Yang di-Pertuan Agong pada 21 September ini di Kuala Lumpur.

Siti Zainon yang dilahirkan pada 18 Disember 1949 di Gombak merupakan pengkaji seni budaya warisan Melayu selain aktif sebagai seniman penyair dan pelukis.

Melalui anugerah Sasterawan Negara itu, Siti Zainon bakal menerima warkah penghormatan negara, wang tunai RM60,000, hak penerbitan sebanyak 50,000 naskhah buku atau nilai harga buku maksimum berjumlah RM500,000 untuk dibeli kerajaan dan disebarkan ke sekolah, perpustakaan, jabatan dan agensi kerajaan.

Beliau juga akan menerima kemudahan perubatan percuma dalam wad kelas satu di mana-mana hospital kerajaan, kemudahan untuk kegiatan mencipta karya sastera, kemudahan untuk penerbitan karya, perterjemahan karya yang sesuai dalam bahasa asing dan elaun sara hidup sebanyak RM5,000 sebulan.

Menurut Maszlee, Siti Zainon merupakan tokoh sastera yang disegani dan telah menghasilkan tiga buah novel, 10 kumpulan cerpen dan 25 kumpulan puisi. Beliau juga terlibat dalam penghasilan tujuh antologi cerpen dan lima antologi puisi.

Dalam bidang akademik, beliau telah menulis 18 kajian ilmiah dalam bentuk buku, 21 esei kajian dalam bab buku serta 21 esei dalam monograf, jurnal, dokumentasi dan majalah-katalog,” katanya.

”Siti Zainon juga telah mengecapi pelbagai pengiktirafan dari dalam dan luar negara, termasuk memenangi Hadiah Sastera Perdana Malaysia (HSPM) sebanyak 6 kali dan pernah menerima Anugerah Budayawan Selangor.

”Di peringkat antarabangsa pula beliau pernah menerima SEA Write Awards pada tahun 1989 dan Anugerah Tokoh Seni Budaya Persatuan Alumni Pendidikan Tinggi Indonesia (PAPTI) 2015,” katanya.

Tambahnya, karya-karya beliau juga telah diterjemahkan ke pelbagai bahasa asing termasuk Bulgaria, Hindi, Inggeris, Korea, Urdu, Jepun, Perancis, Thai dan Rusia.

”Kementerian Pendidikan Malaysia merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada Prof Dr. Siti Zainon Ismail di atas penganugerahan ini dan terima kasih untuk karya-karya dan sumbangan bermakna beliau selama ini, khasnya dalam bidang sastera di Malaysia,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas