Agama

15,000 kanak-kanak tunai haji anjuran Little Caliphs

|SEBAHAGIAN pelajar Little Caliphs sertai Program Simulasi Haji Cilik Little Hajj 2022 di MAEPS
- Diterbit 2 Julai 2022 2:12 AM MYT

BAGI menyemarakkan lagi bulan Zulhiijah yang juga disebut sebagai bulan haji, Little Caliphs International Sdn. Bhd. (Little Caliphs) menganjurkan Program Simulasi Haji Cilik Little Hajj 2022 di MAEPS di sini baru-baru ini.

Program yang telah mendapat sokongan daripada Lembaga Tabung Haji itu telah melibatkan penyertaan seramai 7,150 murid berusia enam tahun dari Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya serta 780 guru tadika Little Caliphs sebagai tenaga mutawwif.

Penganjuran turut dilaksanakan di beberapa buah negeri di bahagian Selatan, Pantai Timur dan Utara dengan menjangkau jumlah keseluruhan seramai 15,000 kanak- kanak.
Pada majlis tersebut, kanak-kanak itu berpeluang ‘naik haji’ dengan melakukan aktiviti tawaf mengelilingi replika Kaabah yang bersaiz 10 kaki ketinggiannya serta aktiviti memakai ihram untuk haji, wukuf di Arafah, bermalam di Muzdalifah dan mabit di Mina, saei, melontar jamrah, dan bertahallul.

SEBAHAGIAN pelajar Little Caliphs sertai Program Simulasi Haji Cilik Little Hajj 2022 di MAEPS, Serdang, baru-baru ini.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Roslan Nordin, apa yang ditekankan oleh Little Caliphs ini adalah semai semangat mahu mengerjakan umrah dari usia kanak-kanak.

“Ini adalah hari yang bersejarah bagi sekumpulan pelajar berumur enam tahun dari tadika-tadika Little Caliphs di seluruh Malaysia mengadakan program Little Hajj 2022.

“Apa yang menarik, para pelajar dapat belajar bagaimana cara menunaikan haji dengan cara yang menyeronokkan.

“Tujuan mengadakan Little Hajj ini adalah sesuai dengan misi Little Caliphs iaitu untuk menyuburkan rasa cinta kepada Islam dan ilmu pengetahuan dalam kalangan anak-anak pra sekolah sebagai persiapan awal untuk mereka menjadi hamba Allah, khalifah Allah dan umat Nabi Muhammad SAW yang bertakwa.

“Program ini sekaligus mengajar mereka tentang haji kerana ia berkaitan dengan tunjang kerohanian dalam kurikulum standard pra sekolah Kebangsaan yang dikeluarkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia,” katanya yang ditemui Wilayahku selepas majlis perasmian program tersebut.

Turut hadir pada program Little Hajj 2022 ini ialah Ketua Pegawai Akademik Little Caliphs International Sdn. Bhd, Datin Hajah Sabariah Faridah Jamaludin dan Pengerusi Akademi Sinergi Ikhlas Sdn. Bhd selaku perasmi program iaitu Fazrul Ismail.

KETUA Pegawai Eksekutif Little Caliphs International, Datuk Roslan Nordin.

Menurut Roslan lagi, program ini adalah salah satu cara mendidik anak-anak membesarkan Allah dan memuliakan Nabi Muhammad SAW.

“Dalam masa yang sama kita yakin bahawa Allah letakkan kejayaan kepada semua manusia bergantung kepada sejauh mana taat kepada perintah Allah ikut cara Nabi Muhammad SAW.

“Jadi anak-anak yang belajar di Little Caliphs ini diperkenalkan kepada kebesaran Allah dan kemuliaan Sunnah Nabi Muhammad SAW.

“Program Little Hajj ini adalah salah satu contoh yang kita perkenalkan perintah Allah dengan cara yang menyeronokkan lagi berkesan. Secara tak langsung, apa yang dipelajari itu terpahat dalam memori mereka.

“Mereka bukan sahaja tengok dan dengar, malah mereka lakukan dan lalui sendiri. Kami juga menerangkan kepada mereka apa makna setiap yang dilakukan seperti saie, wukuf, melontar jamrah, tawaf dan sebagainya.

Manakala Sabariah Faridah yang juga dikenali sebagai Teacher Fari program ini bukan sahaja bermanfaat buat anak-anak tetapi juga ibu bapa.

“Apa yang seronok, ada ibu bapa memberitahu ini adalah kali pertama anak-anak mereka memakai ihram. Ini membuatkan mereka sendiri bersemangat untuk menunaikan haji dan umrah.

“Jadi program ini sebenarnya bukan untuk anak-anak sahaja tetapi juga untuk ibu dan guru-guru.

“Terima kasih kepada Tabung Haji yang sangat prihatin dan memastikan yang kita manasik haji yang sebenarnya, bukan semberono (sembarangan) saja.

“Kita doakan anak-anak ini mempunyai memori indah yang terpahat dalam jiwa mereka yang mereka pernah manasik Haji,” ujarnya.

SELAIN Datuk Roslan (tengah),turut hadir pada program Little Hajj 2022 ini ialah Ketua Pegawai Akademik Little Caliphs International Sdn. Bhd, Datin Hajah Sabariah Faridah Jamaludin (dua dari kiri) dan Pengerusi Akademi Sinergi Ikhlas Sdn. Bhd selaku perasmi program iaitu Fazrul Ismail (Kanan).

Bukan itu sahaja, Fazrul Ismail turut memuji usaha Little Caliphs yang menyemai sifat mentauhidkan Allah dalam usia kanak-kanak.

“Program ini menunjukkan kesungguhan tentang mengajar anak-anak ini tentang perjuangan.

“Haji ini jika dilihat dua kalimah syahadah yang merupakan rukun Islam yang pertama adalah tundukkan hati.

“Rukun Islam kedua (solat) adalah tundukkan badan. Rukun Islam ketiga (puasa) pula menundukkan nafsu kita. Manakala rukun Islam keempat iaitu zakat adalah menundukkan harta kita. Namun Haji inj (rukun Islam kelima) adalah menundukkan semua sekali.

“Jadi apabila pelajar-pelajar ini diperkenalkan dengan program Little Hajj ini sebenarnya untuk mematangkan mereka pada usia kecil ini bahawa harta, nafsu, hati dan diri semuanya perlu ditundukkan untuk Allah SWT.

“Semoga program kali keempat ini akan memberi impak yang besar dan saya amat menggalakkan agar ramai lagi akan memberikan sokongan,” katanya.

Buka cawangan di Thailand

Little Caliphs bercadang untuk membuka antara 30 hingga 50 cawangan tadika setiap tahun dalam usaha me¬luaskan pasarannya di seluruh negara termasuk di pasaran antarabangsa.

RAMAI ibu bapa mahukan anak-anak mendapatkan pendidikan awal yang berkualiti tinggi secara menyeluruh daripada aspek akademik dan pendidikan Islam.

Datuk Roslan Nordin berkata, ia juga adalah untuk memenuhi permintaan ibu bapa dan waris yang terus meningkat setiap tahun ekoran keutamaan mereka mahukan anak-anak mendapatkan pendidikan awal yang berkualiti tinggi secara menyeluruh daripada aspek akademik dan pendidikan islam serta membina kerohanian untuk menjadi individu yang soleh beriman.

Menurut beliau, pengalaman syarikat dalam pendidikan awal kanak-kanak dengan rekod yang cemerlang itu juga telah membolehkan Little Caliphs berjaya menembusi pasaran di negara jiran khususnya di Indonesia.

“Kami kini memiliki tiga buah cawangan tadika di Indonesia dan bakal membuka sebuah cawangan sulung di Thailand pada suku keempat tahun ini,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas