Berita

WBB diteruskan hingga 31 Disember dengan beberapa penambahbaikan

INISIATIF Wilayah Bebas Berniaga (WBB) yang diperkenalkan sejak November 2020 diteruskan hingga 31 Disember ini dengan beberapa penambahan baharu untuk kemudahan peniaga.
- Diterbit 1 Julai 2022 10:48 AM MYT

INISIATIF Wilayah Bebas Berniaga (WBB) untuk Lesen Sementara KL Prihatin akan dikekalkan sementara hingga 31 Disember ini dengan beberapa penambahbaikan diperkenalkan mulai bulan ini.

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berkata antara penambahbaikan termasuk bayaran fi lesen, penetapan waktu operasi perniagaan dan penyusunan atau pemindahan penjaja bagi mengatasi isu seperti seperti halangan lalu lintas,
kebersihan dan pembinaan struktur kekal.

“Setiap penjaja akan dikenakan bayaran fi pembaharuan lesen sebanyak RM20 sebulan dan caj perkhidmatan RM30 sebulan kos bertujuan menampung kerja pembersihan dan pengurusan.

“Waktu operasi perniagaan pula dihadkan dua sesi berbanding sepanjang hari sebelum ini bagi mengawal keadaan di tapak dan bagi memudahkan kerja pembersihan.

“Peniaga boleh memilih satu sesi sahaja tertakluk kesesuaian lokasi sama ada sesi satu yang bermula jam 7 pagi hingga 7 petang atau sesi dua bermula pukul 6 petang hingga 12 tengah malam,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut kenyataan itu, pemegang lesen diberi tempoh mulai sekarang hingga 15 Julai ini untuk untuk mengemukakan permohonan pembaharuan secara dalam talian melalui laman sesawang DBKL atau hadir ke Kaunter Lesen Berpusat Jabatan Pelesenan dan Pembangunan Perniagaan.

“Pembaharuan lesen aktiviti perniagaan barangan basah tidak dibenarkan
dan peniaga dikehendaki mengemukakan
permohonan masuk ke pasar terbuka, pasar pagi, pasar malam dan pasar DBKL atau menukar jenis jualan selewat-lewatnya 30 Sept depan.

Semakan keputusan boleh dibuat melalui laman sesawang di *https://elesen.dbkl.gov.my/*
mulai 1 Ogos hingga 15 Ogos ini dan pemegang lesen dikehendaki menjelaskan bayaran fi lesen dan mencetak lesen sekiranya lulus.

 

Sementara itu, DBKL memaklumkan penjaja di lokasi terlibat aduan atau kacau ganggu akan disusun atau dipindah tertakluk kepada kekosongan antaranya di Pusat Penjaja; Pasar Berbangunan DBKL; pasar malam atau pasar terbuka sedia ada dan penempatan semula penjaja di lokasi dibenarkan DBKL.

“Penambahbaikan yang dilakukan bagi memastikan program WBB dapat diteruskan secara holistik untuk
jangka masa panjang bagi memastikan
permasalahan dapat diselesaikan supaya warga kota dan peniaga mendapat manfaat bersama dalam Keluarga Malaysia,” katanya. –WILYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas