BAGI meringankan beban ibu bapa menjelang sesi persekolahan pada tahun hadapan, pihak Perbadanan Putrajaya (PPj) tampil membantu melalui Program Bantuan Jom Balik Sekolah (Back To School).
Seramai 150 orang pelajar menerima bantuan persekolahan dalam satu Majlis Penyampaian Bantuan Jom Balik Sekolah bertempat di Dewan Seri Melati, Kompleks PPj, Presint 3, Putrajaya pada Selasa.
Inisiatif murni yang dianjurkan pihak PPj dengan tajaan Putrajaya Holdings Sdn Bhd dan GITN Sdn Berhad ini adalah bertujuan membantu keluarga asnaf dan miskin (B40) di sekitar Putrajaya dalam mempersiapkan kelengkapan persekolahan anak-anak untuk kembali bersekolah.
Antara sumbangan yang diterima adalah bantuan satu unit beg sekolah dan alat tulis serta baucar pembelian barangan bernilai RM260.
Mengakui sumbangan itu memberi kelegaan dan meringankan kos tanggungan, ibu tunggal kepada lima orang anak, Nor Shezrin Tasha Shauri, 37, sebak dan terharu apabila anaknya terpilih untuk menerima sumbangan tersebut.

“Alhamdulillah, saya amat bersyukur dan berterima kasih kepada pihak PPj. Bantuan ini besar maknanya malah ia sedikit sebanyak memberi kelegaan kepada saya memandangkan kini hanya membuat bisnes kecil-kecilan untuk menyara keluarga termasuk menanggung kos persekolahan kelima-lima anak.
“Bergelar ibu tunggal bukanlah mudah apatah lagi seluruh tanggungjawab kini berpindah ke bahu saya, jadi segala urusan terpaksa diselesaikan sendirian,” katanya menahan sebak.
Tambahnya, inisiatif dilaksanakan PPj ini juga merupakan langkah terbaik yang dilihat dapat mensejahterakan kehidupannya sekeluarga lebih-lebih lagi dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu.
Sementara itu, Pembantu Operasi PPj, Mohd Agoes Shahdan, 43, juga melahirkan rasa gembira kerana anaknya, Muhammad Arryan Riffqi, 10, turut tersenarai sebagai penerima bantuan tersebut.

“Syukur dan lega. Saya akan gunakan bantuan yang diterima sebaiknya dan berusaha menghantar anak sehingga ke menara gading bagi mengubah nasib keluarga kami,” ujarnya bantuan tersebut merupakan bantuan tahun ketiga yang diterima anaknya.
Pada majlis ini, rata-rata ibu bapa telah melahirkan rasa syukur kerana bantuan melalui Program Jom Balik Sekolah tersebut bukan sahaja dapat mengurangkan beban perbelanjaan persekolahan malah dapat membantu masyarakat dalam pendidikan anak-anak saban tahun.
Terdahulu, penyampaian bantuan tersebut telah disempurnakan oleh Naib Presiden Perkhidmatan Bandar PPj, Nik Shukri Nik Soh dan Pengarah Penguat Kuasa PPj, Mohd Ali Jusoh. – WILAYAHKU