Berita

Projek pembangunan perlu sedia infrastruktur khusus untuk penjaja dan peniaga kecil – PM

- Diterbit 22 Disember 2022 2:19 PM MYT

PROJEK pembangunan yang dalam perancangan perlu menyediakan infrastruktur khusus untuk keperluan penjaja dan peniaga kecil berniaga, bukan semata-mata mengutamakan perniagaan besar.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, bandar raya seperti Kuala Lumpur bukan saja seharusnya menyediakan kemudahan bagi syarikat dan industri besar, malah mereka perlu merancang kemudahan yang sama bagi memacu ekonomi penjaja dan peniaga kecil yang turut mewakili golongan berpendapatan rendah B40.

Jelasnya perkara itu harus juga dibantu oleh setiap kementerian dalam Kerajaan Perpaduan untuk menjadikan pentadbirannya benar-benar merakyatkan ekonomi.

“Pagi tadi saya di Kementerian Wilayah Persekutuan (yang kini distruktur kepada Jabatan Wilayah Persekutuan), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), antara matlamat utama saya kita harus adakan anjakan dan ini terpakai juga untuk kementerian.

“Apa dia anjakan (itu)? Bahawa keindahan bandar raya Kuala Lumpur misalnya mesti disertakan dengan upaya (usaha) berlebihan (untuk) menyediakan tempat perniagaan bagi penjaja dan peniaga kecil seluruh Kuala Lumpur.

“Kota harus indah dan bersih, bukan saja untuk gedung pencakar langit dan juga untuk bank dan perniagaan besar, (ia) mesti diselitkan dengan menyediakan kemudahan kepada peniaga di mana saja lorong, tempat awam yang memungkinkan mereka berniaga dengan selesa dengan kemudahan asas yang cukup,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika Merasmikan Konvensyen Hari Penjaja dan Peniaga Kecil (HPPK) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) hari ini.

Hadir sama Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedict dan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub.

Beliau juga berkata, program bersama penjaja dan peniaga kecil merupakan acara rasmi pertamanya bagi memberi gambaran bahawa fokus Kerajaan Perpaduan yang diteruajuinya untuk memacu pertumbuhan ekonomi dan keutamaan kepada mencatat pembangunan kemajuan. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas