Berita

118 kompaun ingkar SOP PKPB dikeluarkan di Selangor

- Diterbit 15 Oktober 2020 8:20 AM MYT

POLIS Selangor mengeluarkan 118 kompaun semalam terhadap mereka yang tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Ketua Polis Selangor Datuk Noor Azam Jamaludin berkata polis melakukan 53 sekatan jalan raya berhampiran plaza tol di seluruh negeri bagi mengehadkan pergerakan kenderaan antara daerah.

“Sekatan jalan raya ini bertujuan mengelakkan mereka yang tanpa alasan munasabah dan hal tidak penting daripada merentas daerah bagi membendung penularan COVID-19, mereka yang tidak mempunyai surat kebenaran daripada majikan, pihak berkuasa akan meminta mereka berpatah balik,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyaksikan majlis serah terima tugas antara Ketua Polis Daerah Ampang Jaya ACP Noor Azmi Yusoff dengan ACP Mohamad Farouk Eshak di Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya di sini hari ini.

Dalam perkembangan lain, Noor Azam berkata polis menahan 12 suspek yang mempunyai kaitan dengan kejadian seorang pengatur cara komputer cedera ditembak di hadapan rumahnya di Bandar Kinrara, Puchong pada 21 Sept lepas.

“Suspek ini adalah sebahagian daripada sindiket judi dalam talian dan kami percaya mereka adalah pakar teknologi maklumat (IT) yang terlibat dalam kegiatan haram seperti penipuan dalam talian dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata kesemua suspek berumur antara 30 hingga 40 tahun dan enam daripadanya didakwa hari ini manakala lima lagi akan menjadi saksi dan seorang diserahkan ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur kerana dikehendaki polis.

Katanya, suspek utama iaitu Loo Lai Ming atau Datuk Michael, 40, dan Chong Aik Boon atau Manco @ Roy, 48, masih diburu.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes ini diminta tampil ke balai polis terdekat. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas