Berita

145 peserta melibatkan 28 negara sertai Kongres ke-38 IBBY

SHAHIDAN (dua kanan) menyerahkan cenderamata kepada Presiden IBBY, Mingzhou Zhang pada Majlis Makan Malam Welcoming Dinner di Hotel Zenith, Putrajaya hari ini.
- Diterbit 7 September 2022 2:41 PM MYT

SERAMAI 145 peserta sertai Kongres ke-38 Lembaga Buku Antarabangsa Untuk Kanak-Kanak dan Orang Muda (IBBY) yang diadakan di Putrajaya hari ini.

Kongres yang berlangsung selama tiga hari bermula 5 September ini melibatkan penerbit, penulis, pencerita dan pencinta buku daripada 28 buah negara.

Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim berkata dengan bertemakan ‘The Power of Stories’ kongres ini membolehkan para peserta meneroka persamaan dunia nyata dan buku.

“Bertemakan ‘The Power of Stories‘ atau impak yang dibawa oleh sebuah cerita, kongres ini membolehkan para peserta meneroka persamaan yang ada dalam cerita kanak-kanak merentasi negara, kebudayaan serta sistem pendidikan.

“Di samping itu, para peserta dapat membandingkan, berkongsi serta membincangkan kisah dan pengajaran daripada sesebuah cerita dan bagaimana ia dapat membantu memahami peranan, pendekatan dan cabaran seterusnya menjadi alat dalam mengenali peradaban dan budaya masing-masing,” katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam Welcoming Dinner yang diadakan di Hotel Zenith, Putrajaya.

Dalam pada itu, Shahidan memaklumkan IBBY menekankan sub tema merangkumi; penceritaan yang dapat menginspirasikan, pemantapan lisan dan penglihatan, nilai dan identiti kesusasteraan, pemantapan kesasteraan serta penguasaan empati dan memori dalam penceritaan kanak-kanak dan remaja, selain juga pembangunan kognitif kanak-kanak.

“Sebagai seorang bapa dan datuk, saya amat menyokong pengembangan ilmu dan usaha untuk membudayakan amalan membaca dari seawal usia lagi. Saya juga amat menghargai penerbitan buku-buku penceritaan kanak-kanak dan penerbitan buku yang berkualiti tinggi.

“Amalan membaca membangunkan peradaban bangsa, masyarakat dan negara melalui kekayaan nilai ilmu. Malah ayat pertama yang diturunkan kepada Rasulullah SAW sebagai tanda baginda telah diangkat sebagai Rasul atau utusan Allah SWT adalah tentang seruan membaca.

“Untuk peserta tempatan termasuklah penulis, ilustrator dan penterjemah, jadikanlah kongres ini sebagai peluang untuk bersemuka dengan pakar industri antarabangsa, bertukar-tukar dan berkongsi ilmu serta kepakaran masing-masing,” ujarnya.

Tambah beliau, Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) sangat berbangga dengan pemilihan Putrajaya sebagai negara pertama di rantau Asia Tenggara menjadi tuan rumah bagi penganjuran kongres dwitahunan ini.

Majlis tersebut turut dihadiri oleh Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan (Perancangan dan Pembangunan), Datuk Ruzain Idris; Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan (Pengurusan dan Sosio Ekonomi), Datuk Parang Abai @ Thomas; Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Wilayah Persekutuan, Datuk Zaizalnizam Zainun; Presiden Perbadanan Putrajaya, Datuk TPr Fadlun Mak Ujud; Presiden IBBY, Mingzhou Zhang dan Presiden Malaysia Board On Books For Young People (MBBY), Ahmad Redza Ahmad Khairuddin. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas