Berita

140 pesakit baharu direkodkan, kematian cecah 43

DR. NOOR HISHAM ABDULLAH
- Diterbit 31 Mac 2020 10:51 AM MYT

PUTRAJAYA – Kes positif Covid-19 di negara ini mencecah 2,766 dengan penambahan 140 pesakit hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kematian juga bertambah enam kes termasuk membabitkan seorang warga Indonesia di Sarawak, awal pagi tadi, menjadikan 43 keseluruhannya.

“Hari ini, 58 pesakit sudah pulih dan dibenarkan keluar menjadikan jumlah keseluruhan 573.

“Ketika ini seramai 94 pesakit dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dan 60 orang  daripadanya memerlukan bantuan pernafasan,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, daripada enam kematian baharu itu, empat merupakan warga emas yang mempunyai latar belakang penyakit kronik seperti kencing manis, darah tinggi dan jantung.

“Kes-38 merupakan seorang lelaki 48 tahun dan disahkan meninggal dunia pukul 4.04 petang semalam manakala kes-39 dan 40 adalah warga emas 69 tahun, yang salah seorang darinya turut mempunyai sejarah perjalanan ke Arab Saudi.

“Kes-41 membabitkan warga Indonesia berusia 40 tahun manakala mangsa ke 42 dan 43, masing-masing berusia 81 dan 73 tahun,” katanya.- WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas