Berita

Individu pulang dari luar negara, ketua keluarga paling tinggi dijangkiti Covid-19

SETIAP rakyat Malaysia yang baru pulang dari luar negara perlu dikuarantin untuk kesan sama ada dijangkiti Covid-19 atau tidak. Gambar hiasan
- Diterbit 31 Mac 2020 11:24 AM MYT

PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan kumpulan individu berumur 26 ke 30 tahun dan 56 ke 60 tahun mencatatkan bilangan tertinggi positif Covid-19.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pesakit peringkat umur 26 ke 30 tahun itu terdiri dari pelajar atau mereka yang pulang dari luar negara.

“Untuk 56-60 tahun, mereka yang positif Covid adalah ketua keluarga yang keluar membeli barang rumah dan mungkin dijangkiti ketika keluar,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, trend kes baharu dilihat terus meningkat namun adakalanya ia mendatar manakala jumlah pesakit pulih semakin meningkat.

Katanya, keadaan itu menunjukkan kesan positif hasil kerjasama  Kementerian Kesihatan dengan pelbagai agensi dalam tempoh sebulan ini.

“Namun, dalam tempoh dua minggu akan datang, ia akan menentukan impak dan tingkah laku masyarakat memainkan peranan dalam perkara ini,” katanya.

Terdahulu, Dr Noor Hisham memaklumkan kes positif mencecah 2,766 dengan penambahan 140 pesakit hari ini selain enam kematian direkodkan. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas