Santai

14 pendaki Malaysia tawan Gunung Pulag di Filipina

SERAMAI 11 wanita Malaysia berjaya menawan gunung itu dengan ketinggian 2,926 meter dari aras laut.
- Diterbit 2 Mac 2024 11:38 AM MYT

SERAMAI 11 wanita Malaysia membabitkan pelbagai peringkat usia berjaya menakluk Gunung Pulag iaitu puncak ketiga tertinggi di Filipina, baru-baru ini.

Mereka antara 14 pendaki negara ini yang menawan gunung itu dengan ketinggian 2,926 meter (m) dari aras laut pukul 7.30 pagi waktu tempatan selepas empat jam mengharungi cuaca sejuk dan berangin.

GUNUNG Pulag adalah puncak ketiga tertinggi di Filipina.

Seorang pendaki, S. Cithra, 40, berkata, kejayaan misi tersebut membuktikan golongan wanita juga mampu melakukan kegiatan ekstrem dan mencabar itu setanding golongan lelaki.

“Kami bukan sahaja membawa nama wanita, tetapi juga nama Malaysia di luar negara bagi menunjukkan sumbangan kepada negara selain memperkasa golongan wanita untuk masa hadapan.

“Ini pengalaman pertama kami ke Gunung Pulag dan sudah tentu semua teruja untuk menamatkan misi ini dengan selamat walaupun berdepan cuaca sejuk dan berangin selain memulakan pendakian seawal 2.30 pagi,” kata ibu kepada tiga anak ini.

SERAMAI 11 wanita Malaysia berjaya menawan gunung itu dengan ketinggian 2,926 meter dari aras laut.

Gunung Pulag terletak di Pulau Luzon yang bersempadan dengan Benguet, Ifugao dan Nueva Vizcaya di wilayah Kabayan.

Perjalanan ke sana kira-kira sembilan jam dari Manila dan pendakian ke puncak gunung itu adalah sejauh tujuh kilometer.

Gunung Pulag terkenal terkenal dengan lautan awan putih seperti berada di dunia lain dan yang dikelililingi persekitaran savana iaitu padang rumput tropika dengan dikelilingi oleh semak-samun dan pokok-pokok seperti palem dan akasia serta puncak-puncak gunung sekitar puncaknya.

Ditambah pula dengan pancaran matahari pagi yang menyinari savana sehingga suasana oren kekuningan, gunung itu juga memiliki panorama Galaksi Bima Sakti di waktu pagi.

Sementara itu, misi ke Gunung Pulag itu adalah anjuran Ohana Travel And Tours Sdn. Bhd. yang terkenal dengan pakej pendakian lengkap mampu milik ke luar negara bermula di bawah harga RM1,000.

Mereka yang berminat mendapat maklumat lanjut pakej ditawarkan, boleh layari laman web http://www.ohanaadvsport.com.my – WILAYAHKU

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas