Berita

138 staf kesihatan positif Covid-19 tidak dijangkiti daripada pesakit

JANGKITAN Covid-19 terhadap staf kesihatan ada kaitan dengan kluster perhimpunan tabligh. Gambar hiasan
- Diterbit 3 April 2020 11:13 AM MYT

PUTRAJAYA – Seramai 138 anggota kesihatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) disahkan positif Covid-19.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk De Noor Hisham Abdullah bagaimanapun berkata, tiada kes yang didapati berpunca daripada pengendalian pesakit positif Covid-19 di wad atau unit rawatan rapi.

Katanya, siasatan mendapati 58 kes berkait dengan majlis perkahwinan yang dihadiri peserta perhimpunan tabligh di Masjid Jamek Seri Petaling, bulan lalu.

“Sebanyak 14 kes berkaitan dengan gejala ringan dan dua pesakit pula menghadiri perhimpunan tabligh berkenaan namun tidak memaklumkan perkara itu

“Sembilan kakitangan itu juga mempunyai kontak rapat dengan pesakit positif dan enam mempunyai sejarah perjalanan ke luar negara.

“Empat kes lagi dari jangkitan rakan manakala baki selebihnya kira-kira 42 kes masih dalam siasatan,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.

Dalam masa sama, Dr Noor Hisham memaklumkan, sekiranya tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ditamatkan, orang awam diminta meneruskan saranan kementerian iaitu menjaga kebersihan dan mengamalkan jarak yang selamat.

Katanya, semua pihak juga tidak digalakkan menghadiri atau mengadakan perhimpunan membabitkan jumlah ramai dalam tempoh enam hingga 12 bulan.

“Berkenaan Bazar Ramadan, kita perlu kreatif. Dalam fasa pertama, kita dapati 70 peratus menggunakan khidmat penghantaran makanan ke rumah,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas