Berita

Pelajar hadir himpunan tabligh antara punca jumlah kes di Selangor melonjak

MASJID Seri Petaling, Kuala Lumpur
- Diterbit 3 April 2020 11:55 AM MYT

PUTRAJAYA – Peningkatan kes di Selangor yang mencatatkan jumlah tertinggi pesakit Covid-19 turut berpunca daripada pelajar tahfiz dan madrasah yang menghadiri perhimpunan tabligh di Masjid Jamek Seri Petaling hujung Februari lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ketika ini, lebih 300 kes dikesan berlaku di Hulu Langat dan dianggarkan ia meliputi separuh daripada keseluruhan kes di Selangor.

Katanya, sebanyak 41 kes daripada 217 kes positif Covid-19 baharu direkodkan hari ini adalah membabitkan pelajar madrasah di Selangor.

“Untuk Kampung Sungai Lui, terdapat 90 kes Covid-19 yang mana 25 darinya berkait dengan perhimpunan tabligh manakala 65 lagi dengan kontak rapat pesakit positif Covid-19.

“Jadi, memang 50 peratus kes di Seangor berkait dengan jemaah Seri Petaling dan merebak ke sekolah tahfiz serta madrasah,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.

Pada 29 Mac lalu, kerajaan menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) di kawasan Batu 21 hingga Batu 24 Sungai Lui, Hulu Langat.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dipetik sebagai berkata, PKPD itu melibatkan tujuh kampung iaitu dua perkampungan Orang Asli dan lima perkampungan Melayu.

Perintah berkuat kuasa mulai 30 Mac hingga 13 April itu melibatkan 3,918 orang penduduk merangkumi 700 rumah. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas