Berita

Andre Anura idam beraksi di Olimpik

ANDRE ANURA jaguh muda harapan negara.
- Diterbit 3 April 2020 10:55 AM MYT

KUALA LUMPUR – Penangguhan Sukan Olimpik Tokyo 2020 ternyata memberi kelebihan kepada ramai atlet muda negara untuk layak ke temasya terbesar dunia itu pada Julai tahun hadapan.

Dengan kelebihan 16 bulan sebelum bermulanya temasya itu, mereka berpeluang mengutip mata dan melepasi had kelayakan yang ditetapkan.

Tidak terkecuali jaguh lompat jauh muda negara, Andre Anura Anuar yang perlu melepasi had kelayakan 8.22 meter untuk ke Olimpik.

Atlet berusia 21 tahun itu perlu meningkatkan prestasinya selepas meraih pingat perak pada Sukan SEA Filipina tahun lalu dengan catatan 8.02 meter.

“Tidak mustahil untuk saya melepasi catatan 8.22 meter. Saya yakin boleh melakukannya tetapi saya masih belum ada rezeki untuk melepasinya buat masa ini.

“Tahun depan mungkin saya menyertai lebih banyak kejohanan di luar negara, jadi sudah tentu saya dapat mencuba dan berusaha bagi melepasi catatan dengan memperbaiki larian dan momentum,” ujarnya.

Sebagai rekod, lompatan yang dilakukannya pada Sukan SEA Filipina tahun lalu berjaya memecah rekod kebangsaan milik atlet Josbert Tinus dengan catatan 7.88 meter pada tahun 2007. -WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas