Berita

MSWP serah bantuan berjumlah RM378,000, peka kesukaran atlet

RAMLAN menyerahkan replika cek kepada Hasnul sejurus majlis penyerahan bantuan secara maya.
- Diterbit 6 September 2021 6:20 AM MYT

MAJLIS Sukan Wilayah Persekutuan (MSWP) meneruskan komitmen dengan Penyerahan Bantuan Pentadbiran kepada Persatuan Sukan Wilayah Persekutuan Tahun 2021 berjumlah RM378,000.

Penyerahan bantuan yang diadakan secara maya tersebut menghimpunkan kesemua wakil 92 persatuan sukan dari Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.

Menurut Pengerusi MSWP, Datuk Ramlan Shahean @ Askolani, Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) menerusi MSWP komited mengekalkan komitmen terhadap pembangunan atlet di ketiga-tiga wilayah.

“Pemilihan 92 persatuan sukan ini dibuat berdasarkan penyenaraian sukan terbabit dalam Sukan Malaysia (SUKMA) XX Johor 2022 dan juga persatuan sukan serta kelab sukan yang membantu dalam program pembangunan sukan di Wilayah Persekutuan.

“Pemberian bantuan pentadbiran ini juga sebahagian dalam usaha untuk memastikan program pembangunan sukan yang berterusan dilaksanakan oleh persatuan sukan di semua peringkat terutama ketika berlakunya pandemik COVID-19,” kata Ramlan.

Pengarah MSWP, Dr. Hasnul Faizal Hushin Amri turut hadir dalam majlis secara maya tersebut.

Wakil persatuan, Hisham Darus yang juga Presiden Persatuan Sukan Elektronik Kuala Lumpur; Setiausaha Kehormat Persatuan Badminton Putrajaya, Celestine Sting George dan Setiausaha Kehormat Persatuan Kriket Kuala Lumpur, R Surendran pula hadir mewakili 92 persatuan yang menerima bantuan perbelanjaan itu.

Dalam pada itu, Ramlan berkata, MSWP juga sentiasa peka terhadap kesukaran yang terpaksa dihadapi atlet, jurulatih mahupun persatuan sukan dalam berdepan dengan tempoh sukar apatah lagi sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berlangsung.

“Disebabkan itu, MSWP kekal dengan pemberian elaun atlet dan jurulatih sepanjang PKP dengan perbelanjaan sebanyak RM300,000 pada setiap bulan,” kata Ramlan.

Dalam majlis yang sama, MSWP turut menjayakan Sambutan Hari Kemerdekaan ke-64 bersama semua persatuan sukan di ketiga-tiga wilayah dengan bacaan ikrar Rukun Negara, penyampaian sajak oleh Setiausaha PESAKA Kuala Lumpur, Sudirman Arifin dan juga nyanyian lagu Jalur Gemilang.

Sebagai rekod, hampir 100 peratus atlet Wilayah Persekutuan yang berumur 18 tahun ke atas sudah memperoleh vaksin COVID-19. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas