Berita

12 MPPWP terima watikah pelantikan

ANNUAR menyerahkan watikah pelantikan MPPWP kepada Pengerusi Parlimen Segambut, Datuk Daniel Ling Sia Chin hari ini.
- Diterbit 11 Julai 2020 6:47 AM MYT

KOMITED dalam memastikan warga Wilayah Persekutuan kekal perpaduan serta kesepakatan khususnya dalam tempoh pasca Covid-19, 12 Pengerusi Zon Majlis Perwakilan Penduduk Wilayah Persekutuan (MPPWP) dilantik untuk menjayakannya hari ini.

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri TPr Annuar Musa berkata, kesemua MPPWP yang dilantik hari ini perlu memberi fokus kepada persepakatan komuniti di samping membantu pelaksanaan program kementerian serta agensi.

“Termasuk juga peruntukan untuk mereka mengambil inisiatif bagi menjalankan pelbagai kegiatan di akar umbi yang bertujuan merapatkan perpaduan seluruh penduduk Kuala Lumpur.

“Pada masa sama harus dapat membantu agensi kementerian dalam hal-hal berkaitan pembangunan dan menyampaikan pandangan rakyat atau teguran serta aduan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyerahkan watikah pelantikan kepada 12 MPPWP yang dilantik hari ini.

Hadir sama, Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan, Datuk Rosida Jaafar; Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan dan Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj), Datuk Dr. Aminuddin Hassim.

Dalam pada itu, Annuar berkata, beliau berharap dengan adanya MPPWP, setiap pelaksanaan peranan dan tugas kementerian termasuk agensi dapat berjalan lancar serta menepati konsep yang direncanakan.

Jelasnya, kredibiliti pengurusan MPPWP amat perlu bagi mengupayakan komuniti setempat ke arah perpaduan, kelestarian persekitaran, keselamatan, kesejahteraan dan pembangunan modal insan.

“Pengurusan baharu ini dibuat untuk menyusun semula MPPWP di Wilayah Persekutuan yang mana sebelum ini dilihat kurang aktif dan tidak menyumbang kepada pembangunan negara,” jelasnya. – WILAYAHKU

ANNUAR (tengah) bergambar bersama 12 Pengerusi MPPWP.
Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas