Berita

Paip utama pecah, penduduk Labuan alami ganguan air

KERJA-KERJA pembaikan paip pecah di Pulau Enoe sedang giat dijalan kan.
- Diterbit 11 Julai 2020 5:22 AM MYT

KIRA- KIRA 85 peratus penduduk di Labuan mengalami gangguan bekalan air sejak enam hari lepas berikutan paip utama di tangki penerima Pulau Enoe pecah.

Namun hanya kawasan perindustrian terkecuali daripada mengalami gangguan bekalan air tersebut.

Pengarah Jabatan Air Labuan Muhamad Zulkeflee Yusof berkata, pihak kontraktor kini sedang melaksanakan kerja-kerja pembaikan sejak selasa lalu sebaik sahaja mengesan kerosakan pada Sabtu lalu.

“Paip tersebut menyalurkan bekalan air daripada empangan Pulau Enoe ke loji rawatan air di Jalan Kolam.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan ( PL ), Dr Fary Akmal Osman berkata, PL akan bekerjasama dengan Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) bagi membantu JBA membekalkan bantuan bekalan air terawat di beberapa kampung dengan menyediakan sebanyak 7 buah tangki statik.

“ Sebanyak 13 lokasi baharu telah kita kenalpasti dan kita akan letak tangki-tangki statik di kawasan tersebut untuk membekalkan bekalan air bersih kepada penduduk,” katanya kepada wartawan dalam sidang media di Bangunan Wisma PL, pada Jumaat.

Dalam pada itu, Fary berkata penglibatan Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) dan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) akan turut diselaraskan bagi menangani isu tersebut.

“ Proses pembaikan paip dijangka siap dalam 2 hari lagi dan pihak JBA menjangkakan isu gangguan bekalan air akan mengambil masa seminggu untuk tujuan pembersihan tangki,” katanya. -KHAIRUL IDIN – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas