Berita

107 warga Malaysia dari Wuhan dibenarkan pulang

DR. DZULKEFLY ketika mengadakan telesidang bersama Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus di Putrajaya hari ini.
- Diterbit 18 Februari 2020 9:57 AM MYT

PUTRAJAYA – Semua 107 rakyat Malaysia dan ahli keluarga yang dibawa pulang dari Wuhan, China melalui Misi Bantuan Kemanusiaan pada 4 Februari lalu dibenarkan pulang ke rumah masing-masing hari ini.

Sebelum ini mereka melalui tempoh pemantauan di Pusat Pengawasan di Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT), Bandar Enstek, Negeri Sembilan.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, sampel ulangan bagi mereka telah disahkan negatif namun salah seorang daripada mereka sedang menerima rawatan di wad bagi isu kesihatan yang dialaminya.

“Mereka yang dibenarkan pulang hari ini termasuklah dua kes yang sebelum ini positif Covid-19 dan dirawat di Hospital Tuanku Jaafar, Seremban.

“Kes tersebut adalah kes ke-11 dan ke-12 iaitu masing-masing melibatkan seorang kanak-kanak lelaki warganegara Malaysia berumur 9 tahun dan ayah kepada kes ke-11 berumur 45 tahun,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Dzulkefly berkata, bagi kedua-dua kes tersebut, mereka telah menerima rawatan di wad dan telah menjalani ujian pengesanan ulangan sebanyak dua kali berturut-turut dan keputusan adalah negatif.

“Pihak KKM ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada semua agensi yang terlibat dalam menjayakan misi ini,” katanya.

Sehubungan itu, jelas beliau, keseluruhan kes yang telah discaj daripada wad adalah sebanyak 11 kes dan tiada kes baharu dilaporkan hari ini (18 Februari 2020).

Jumlah kumulatif kes Covid-19 yang dilaporkan kekal sebanyak 22 kes dengan hanya 11 kes masih dirawat di wad. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas