Berita

Visi Kuala Lumpur bandar untuk semua

KHALID (kiri) bersama Nor Hisham melihat Pameran Draf PSKL2040 di Auditorium DBKL, Kuala Lumpur hari ini.
- Diterbit 18 Februari 2020 11:46 AM MYT

KUALA LUMPUR – Pelan Struktur Kuala Lumpur (PSKL) 2040 yang bakal diwartakan hujung tahun ini merintis usaha menjadikan Kuala Lumpur sebagai bandar raya untuk semua golongan masyarakat.

Visi Kuala Lumpur dalam pelan tersebut akan mengambil kira aspirasi warga kota terhadap pembangunan ibu kota dengan dinamik berprinsipkan pertumbuhan saksama, sejahtera, mapan dan berdaya tahan.

Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abd. Samad berkata, PSKL 2040 akan mentransformasikan Kuala Lumpur sebagai ibu negara dengan pendekatan inklusif, saksama, berdaya huni dan mapan dengan visi ‘Kuala Lumpur, Bandar Untuk Semua’.

“PSKL2040 menetapkan hala tuju pemajuan Kuala Lumpur yang menyasarkan keseimbangan dalam perancangan bandar bagi menangani cabaran yang dihadapi.

“PSKL2040 akan mengintegrasi penggunaan tanah dengan perancangan infrastruktur, pengangkutan, penyediaan perumahan mampu milik, pekerjaan, kemudahan awam serta peningkatan kualiti alam sekitar dan reruang awam bandar,” katanya ketika berucap merasmikan Pameran Draf PSKL 2040 di Auditorium Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di sini hari ini.

Hadir sama Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Shahruddin Md. Salleh dan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham A. Dahlan serta Ahli-ahli Parlimen di Kuala Lumpur.

Pameran utama itu berlangsung di ruang legar bangunan tersebut setiap hari termasuk cuti umum sehingga 18 Mac ini.

KHALID menunjukkan buku draf PSKL2040 ketika merasmikan Pameran Draf PSKL2040 di Auditorium DBKL, Kuala Lumpur hari ini. Turut kelihatan Shahruddin kiri) dan Nor Hisham. – Foto NAZIRUL ROSELAN

Khalid menegaskan, visi Kuala Lumpur bagi PSKL 2040 perlu selaras dengan Matlamat Pembangunan Mapan (SDG), New Urban Agenda dan Rancangan Fizikal Negara dengan mengutamakan perancangan menyeluruh dan tidak akan membelakangkan mana-mana pihak.

“Antara cabaran yang perlu ditangani dan diambil kira dalam perancangan 2040 adalah pertumbuhan penduduk yang semakin menurun, struktur penduduk makin menua dan saiz isi rumah semakin mengecil,” katanya.

Penduduk Kuala Lumpur meningkat daripada 1,674,800 orang pada tahun 2010 kepada 1,795,200 pada 2018. Dengan kadar purata pertumbuhan penduduk hanya sebanyak 1.05 peratus, penduduk Kuala Lumpur dianggar hanya mencecah 2,254,400 orang pada 2040. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas