Berita

103 ruang niaga di pusat beli belah disediakan untuk anak muda

GOLONGAN belia perlu menyahut cabaran untuk membuka perniagaan di kawasan strategik. - Gambar hiasan
- Diterbit 15 Mei 2020 8:31 AM MYT

KUALA LUMPUR – Golongan belia disaran menyahut cabaran memulakan perniagaan berkualiti serta kompetitif termasuk di dalam pasar raya yang terletak di lokasi strategik di ibu kota.

Untuk itu, Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri TPr Annuar Musa berkata, kementerian sudah mendapatkan sebanyak 103 ruang atau petak perniagaan untuk golongan muda membuka perniagaan di dalam pasar raya besar.

“Malam tadi saya telah berbincang dengan sebuah syarikat berjenama terkenal dimiliki bumiputera untuk meninjau prospek ini dan ada juga beberapa syarikat francais yang boleh disertai anak muda untuk berniaga di kawasan strategik termasuk di pasar raya besar,” katanya dalam sesi LIVE Facebook hari ini.

Annuar berkata, pihaknya telah mengenal pasti beberapa lokasi di sekitar ibu kota sama ada untuk menempatan kiosk, gazebo dan kedai ‘take away’ dan trak makanan moden untuk membolehkan ruang perniagaan dibuka.

“Perkara ini sedang diperincikan dan saya telah meminta agensi seperti Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Perbadanan Putrajaya dan Perbadanan Labuan untuk mengenal pasti tapak dan sediakan perlesenan, panduan atau latihan bagi membuka ruang baharu kepada belia untuk memulakan perniagaan,” katanya.

Sambil meletakkan harapan golongan belia sanggup menjalankan perniagaan berkualiti, beliau mahu melihat jalan-jalan utama di ibu kota, Putrajaya dan Labuan serta kawasan tumpuan ramai menjadi lokasi anak-anak muda berniaga secara teratur.

Untuk itu, Annuar berkata, beliau bersama Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican; Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad dan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar pada 21 Mei ini akan mengadakan perbincangan dan pembentangan konsep peniagaan dengan menggabungkan tenaga melalui empat kementerian.

“Ini supaya program yang dijalankan di ibu kota dapat dilaksanakan dengan meluas dan benar-benar berjaya,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas